Thursday, 31 December 2015

Di Hari Terakhir Tahun 2015

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: koleksi sendiri

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Lama sungguh tak menulis di sini. Memang sibuk mengalahkan menteri :) Masih mencuba untuk sesuaikan diri dengan pelbagai keadaan baru. In sya Allah bila dah biasa, tiada masalah sibuk tu lagi.

Bersempena hari terakhir di tahun 2015 ini, sepatutnyalah diri ini membuat muhasabah. Menilai balik apa yang telah berlaku dan dilakukan sepanjang tahun 2015. Dari pelbagai sudut.

Sudut Rohani - sudahkah bertambah baik? Amalan ada bertambah kah? Adakah berpuas hati dengan apa yang dilakukan selama ini? Apa lagi yang perlu dibaiki? 

Sudut Kewangan - hutang sudah langsai? Ada buat hutang baru ke? Pendapatan bagaimana? 

Sudut Sosial/Hubungan - ada berziarah? Hubungi ibu, bapa, adik beradik saudara mara? Dengan pasangan (jika ada), bagaimana? Jiran tetangga? 

Sudut Kerjaya - kenaikan pangkat? Eh....saya suri rumah, Kalau saya memang tiada naik pangkat lah. Yang ada mungkin pertambahan dari segi kemahiran dalam menguruskan rumah tangga.

Sudut Ilmu - ada pertambahan ilmu? Atau masih macam dulu? 

dan pelbagai sudut lain lagi. 

Bagaimana pula azam tahun ini. Ada impian yang terlaksanakah? Atau dalam proses? Atau dah tak bergerak?

Selesai muhasabah, boleh lah pula merancang untuk tahun yang baru. Meskipun banyak berita yang tahun 2016 akan menjadi tahun yang memeritkan dengan kenaikan pelbagai perkara, namun ada juga yang menyatakan tahun 2016 akan menjadikan tahun kejayaan, tahun pelaris dan tahun yang membina insan. Jadi, yang mana satu ingin kita ambil? Terpulang lah. 

Untuk diri sendiri, alhamdulillah, banyak juga azam atau impian yang dibuat telah dicapai. Ada juga yang sedang dalam proses untuk capai. In sya Allah akan dibawa ke tahun hadapan. 

Yang paling best, dapat merasa pakai jam ke kanan atau lawan jam :) Akhirnya, dapat juga merasa. Dan bila dah dapat tu, macam budak-budak lah jadinya, pakai ke mana sahaja hahaha.



Beli 2 terus. Satu untuk diri sendiri, satu untuk suami. Boleh dikira sebagai hadiah hari jadi dia lah. Sebab hari jadi dia bulan Januari ni. Tak sangka-sangka pula, beli jam sepasang, diberi pula percuma T-Shirt lengan panjang yang cantik. Alhamdulillah. Suka. 



Saturday, 28 November 2015

Nak berjaya?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmanirrahim.

Nak berjaya? Semua orang nak berjaya kan? Tak kesahlah apa definisi kejayaan pun yang kita ada, yang penting kita tahu yang kita nakkan kejayaan itu.

Nak berjaya kena usaha sikit. Beberapa perkara perlu kita buang terlebih dahulu. Apa dia? 

Ni dia:

1)   Menuding jari 
Semua orang bersalah. Kita je yang betul. Kita jadi macam ni pun sebab si A tu buat macam tu. 
Memang seronok menyalahkan orang lain, menuding jari. Tetapi bila kita buat macam ni, kita makin lemah sebenarnya. Sebab sampai bila-bila kita tidak akan maju ke hadapan. Ye lah, sebab kita dah betul. Orang lain yang salah. Hmmm.

2)  Komplen.
Yang ni pun seronok kalau buat ni. Komplen je semua benda. Jalan rosak komplen. Lampu isyarat merah komplen. Lauk tak sedap komplen. Banyak kerja komplen. Tak de kerja komplen. Tak penat ke? 
Selalunya orang akan komplen perkara-perkara yang sebenarnya boleh diubah. Kalau tak boleh ubah macam tarikan graviti contohnya, tak ada orang komplen punya. Jadi kalau boleh diubah, apa salahnya kita ubah sahaja kepada perkara yang kita suka. 

3)  Memberi alasan
Banyak betul alasan yang ada. Semuanya untuk melarikan diri dari bertanggungjawab atas kesilapan atau kekurangan. Kadang-kadang alasan yang diberi tu rekaan je pun. 

4)  Cuba mempertahankan perkara yang tidak betul
Kalau dah tak betul tu mengaku sahajalah. Tak perlu pertahankan lagi. Dan kadang-kadang kita cuba pertahankan diri sebab ego kita tidak benarkan kita dipersalahkan. 

Itulah empat perkara yang perlu cuba kita buangkan jauh-jauh dari diri kita sekiranya kita ingin berjaya. 

Dengan kata lain, bertanggungjawablah sepenuhnya dengan apa yang kita lakukan. :)

Thursday, 26 November 2015

Syukur Alhamdulillah

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: dari laman web ibhcenter

Bismillahirrahmanirrahim.

Dapat berita gembira hari ini.

Sudah rasmi menjadi ahli Indonesian Board of Hypnotherapy, sekolah hipnosis terbesar di Asia.

Alhamdulillah, syukur.

Moga dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Tuesday, 24 November 2015

Hasil Interaksi Minda Bawah Sedar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, saya ada bercerita mengenai hipnosis dan minda bawah sedar kan? 

Nak kongsi sedikit pencapaian yang saya dapat semenjak menghipnosis diri sendiri.

1)  Income dari bisnes sejuk beku berjaya diperolehi sebanyak yang diprogramkan. Begitu juga dengan income dari bisnes baru iaitu penjualan satay, kambing grill dan grilled patty (burger bakar). 

2)  Dapat jumpa dengan pengedar jam tawaf dan sekaligus berurusan dengan beliau dengan cepat untuk menjadi agen. Antara impian saya adalah untuk melihat orang Islam menggunakan jam tawaf menggantikan jam biasa. Supaya orang Islam lebih sihat, bertenaga dan lebih bersemangat. Tidak lemah. Wallahuallam.

3)  Dapat turunkan 1 kg berat badan setelah bertahun-tahun kekal dalam berat yang satu tu. Nampak sedikit 1 kg tapi bagi saya itu satu pencapaian besar sebab 1 kg tu memang susah untuk saya turunkan. Sebab saya ni jenis yang lambat naik berat dan lambat juga turun bila dah naik. Dan yang seronoknya saya tak pula diet atau buat senaman. Hanya ambil sedikit suplemen makanan sunnah. Gembiranya. Tinggal lagi 7 kg untuk dapatkan berat ideal :)

4) Lebih bersemangat dan kurang komplen. Tabiat buruk itu adalah saka dalam diri hehe. Saya telah diprogramkan untuk buang saka tersebut semasa bengkel IHP itu hari. Saya dapat rasa yang saya sekarang sudah agak berbeza berbanding dahulu. Kalau dahulu suka bertangguh tapi sekarang sudah berkurang. Hampir kesemua "To do list" saya dapat saya selesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan. 


...dan banyak lagi sebenarnya. Yang kecil-kecil. Yang bila terfikir je, terus dapat. Alhamdulillah. Sebab itu lah saya cakap Allah makbulkan doa kita dalam masa secepat 3 saat. Yakin lah. Baru je fikir/doa, terus dapat. Allahuakbar. Syukur sangat-sangat. 

Alangkah bagusnya kalau semua umat Islam boleh manfaatkan hipnosis dan minda bawah sedar. Mesti seronok kan?

Monday, 23 November 2015

Nikmat Rezeki



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Image result for rezeki
Apakah definisi rezeki buat anda?

Duit?

Jangan sempitkan definisi rezeki.

Ya, saya dulu selalu kaitkan rezeki dengan wang ringgit. Kalau duit sedikit, selalu fikir rezeki aku kurang. Betapa sempitnya kolam jiwa ku.

Tetapi alhamdulillah, setelah difahami dan diteliti, jika kita luaskan konsep dan definisi rezeki, barulah dapat dilihat betapa saya ini melimpah ruah dengan rezeki yang Allah kurniakan. 

Patutlah pakar motivasi, tidak kira orang Malaysia atau dari luar negara, Islam mahupun beragama selainnya, mereka menekankan tabiat untuk bersyukur. Malah kalau boleh adalah disarankan kita mempunyai satu buku khas, Journal Kesyukuran untuk menulis segala apa yang kita syukuri, 

Bangun pagi, lepas Subuh, duduk dan tulis sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita syukuri. Sama ada untuk perkara yang berlaku semalam mahupun perkara yang berlaku sebaik sahaja kita buka mata. Ye lah, nikmat kehidupan, nikmat pancaindera dapat melihat matahari naik di pagi hari, nikmat dapat hidu udara segar, dapat dengar suara alam dan macam-macam lagi. Itu saja pun dah lebih dari 5 kan? 

Oh ya, Journal Kesyukuran itu seeloknya satu buku fizikal. Dan bukannya satu fail di dalam komputer (yang saya suka buat lah tu). Kerana aktiviti menulis secara fizikal itu memberikan kita rasa yang lebih berbanding dengan menaip di papan kekunci komputer. Kalau dapat beli buku yang cantik sikit pun lagi bagus. Belanja sikit untuk nyatakan betapa bersyukurnya kita dengan apa yang akan kita tulis nanti. 

Selepas saya buat begitu, barulah saya boleh nampak dengan jelas betapa setiap hari kita dikurniakan rezeki yang tidak terhingga dari Allah. Dalam pelbagai bentuk. Antaranya:

-  dipermudahkan untuk lakukan sesuatu urusan (baru berlaku tadi pada saya)
-  mendapat pertolongan daripada orang yang baru kita kenal (berlaku semalam)
-  diberi makanan percuma (berlaku pada hari Rabu)
-  mendapat bahan bacaan percuma untuk ilmu yang saya cari sekian lama (berlaku malam tadi)
-  saya dan anak-anak tidak demam walaupun terkena hujan lebat 
dan banyak lagi. Allahuakbar. Syukur alhamdulillah.

Dan saya juga perasan, semakin kita mensyukuri, semakin pula bertambah rezeki kita. Sungguh jelas, janji Allah itu adalah pasti. 

Alhamdulillah.

Sunday, 22 November 2015

Bengkel Minda Bawah Sedar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Assalamualaikum,

Lamanya tak menulis. Memang agak sibuk kebelakangan ni menguruskan beberapa perkara. Memandangkan sekarang kami ada 2 jenis perniagaan, maka perlu agihkan masa untuk uruskan kedua-dua perniagaan tersebut. Dan memang baru perasan sangat-sangat, ilmu perniagaan kami masih cetek. Walaupun sudah bergelumang dengan syarikat sebelum ni, tetapi perniagaan sebegitu lain kerenahnya. Apa pun saya sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk merasai pengalaman yang berbeza-beza.

2 minggu lepas saya telah menghadiri satu bengkel Intensif Hipnosis Power (IHP) yang dianjurkan oleh Hypnovengers Academy. Seronok sangat. Melihat master-master beraksi. Kemudian kami pula perlu praktikkan dan-dan tu juga. Cuba hipnosis sahabat yang baru dikenali. Agak janggal lah jugak. Tapi seronok bila ia menjadi. Hehehe. Sekarang dah dapat sijil dah. In sya Allah, bulan hadapan akan sampai pula sijil dari IBH (Indonesian Board of Hypnotherapy). Dengan kata lain, saya dah boleh amalkan ilmu hipnosis yang dipelajari ini. Mula dengan hipnosis diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan. Ada sesiapa ingin dihipnosis? Haha. 

Tetapi sijil saya hanya untuk hipnosis sahaja. Iaitu untuk masalah-masalah berkaitan emosi sahaja. Atau yang inginkan ketenangan daripada stress dan yang seumpamanya. Masih belum masuk hipnoterapi lagi. Jadi kes-kes yang berat masih belum ada lesen lagi huhu. In sya Allah, untuk bengkel seterusnya akan saya ikuti juga. Mudah-mudahan Allah permudahkan. 

Apa itu hipnosis? Jangan tertukar dengan pukau ya. Hipnosis ni bukan pukau. Secara ringkasnya ia lebih kepada bagaimana kita berinteraksi atau programkan minda bawah sedar untuk mengeluarkan potensi diri sendiri. 

Sedikit testimoni. Alhamdulillah, bila buatkan pada diri sendiri, program pertama saya adalah untuk dapatkan sale sebanyak RMXXXX dalam perniagaan sejuk beku. Dan syukur, dengan izin Allah, saya telah pun mendapatnya. Tak sikit tak kurang, tepat-tepat seperti yang diprogramkan. Allahuakbar. Memang kuasa Allah itu Maha Besar. Dan yakinlah, bila kita meminta dengan Allah, pasti Dia akan makbulkan. Tinggal cepat dengan lambat sahaja. Yang paling cepat makbulnya sepantas 3 saat sahaja. Ini juga sudah saya rasai. Allahuakbar. 

In sya Allah, nanti saya sambung lagi ya.

Monday, 2 November 2015

Rentetan Peristiwa

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sedikit "update"

1.  Alhamdulillah, perniagaan sejuk beku kami melangkah setapak lagi dengan membuka gerai kecil menjual satay dan kambing grill pula. Gerai ini dibuka di sebelah malam dari pukul 5:30 hingga 11:30 malam. Turut menyediakan perkhidmatan "delivery" untuk sekitar kawasan Bandar Baru Bangi dan pinggiran Putrajaya. Baru sahaja beroperasi selama seminggu. Mudah-mudahan bisnes ini akan berkembang selari dengan bisnes sejuk beku.

2.  Memandangkan tuan punya bisnes sejuk beku bertumpu kepada gerai yang baru dibuka, alhamdulillah juga kami telah dapat menggaji 2 orang pembantu untuk perniagaan sejuk beku. Mereka lah yang akan mengendalikan penjualan produk sejuk beku di pasar malam dan pasar tani waktu minggu bekerja. Semoga sesiapa yang terserempak dengan mereka di pasar malam dan pasar tani di Bandar Baru Bangi dapat memberikan sokongan terhadap perniagaan kami dan juga kepada pembantu kami. 

3.  Saya telah berpeluang untuk duduk di seminar Intensif Minda Bawah Sedar kelolaan Master Rey dan Master Farhan. Satu seminar yang sangat padat dengan ilmu dan sangat membuka minda, dua -dua minda pun terbuka heehe. Rasa sekejap sahaja seminar tu dari pukul 9:00 hingga 6:00, macam tak cukup pun ada. Rasa nak lagi dan lagi hehe. Moga nanti saya dapat peluang ke seminar yang kedua iaitu Intensif Hipnosis Power (IHP). In sya Allah, boleh!

4.  Saya sendiri juga telah mendapat satu peluang perniagaan untuk memasarkan barangan sunnah seperti Jel Aloe Vera, Madu, Jus Delima yang dicampur dengan Jus Manggis, Jus Cranberry, kapsul minyak ikan + minyak zaitun (omega 3 + omega 6) dan bermacam-macam lagi. In sya Allah, sikit masa lagi saya akan berkongsi mengenai produk-produk yang bermanfaat ini. Sekarang dalam fasa mencuba sendiri terlebih dahulu. Setakat ini alhamdulillah, sudah merasa manfaat daripada produk yang saya sedang cuba. Nanti akan diceritakan lagi.


Saturday, 24 October 2015

Pertemuan dan Pembelajaran

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Siang tadi berpeluang duduk bersembang dengan sahabat lama. Lama juga sembangnya. Maklumlah lama tak jumpa. Berjumpa dengan dia dan pasangannya. Insan hebat yang tak pernah kenal erti jemu dan penat untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dan banyak pula jenis perniagaan yang dilakukan. 

Seronok dengar perkongsian perjalanan bisnes mereka. Dan saya memang suka tengok suami dan isteri sama-sama berganding bahu untuk bisnes. Saling sokong menyokong, saling melengkapi. Mudah-mudahan saya juga dapat menjadi sebegitu. 

Apa yang saya perasan tadi, orang yang banyak pengalaman dalam bisnes, cara mereka bercakap memang berbeza dengan orang yang baru nak berjinak-jinak dengan bisnes seperti saya. Tambah pula saya ni jenis yang mulut tak banyak (memang semua orang mulut satu je hehe, faham kan maksud saya?). Memang nampak perbezaannya. Dan perkataan yang digunakan juga berbeza. 

Saya suka apa yang beliau kongsikan mengenai bagaimana sebagai seorang yang berniaga, kaedah jualan lembut (soft sell) itu adalah lebih berkesan berbanding hard sell. Memang saya kerap juga terbaca mengenai perkara ini. Tapi tadi dapat lihat contoh bagaimana buat soft sell depan mata. Seronok dan memang membuka minda. Nampak sangat la ilmu saya ni masih cetek dalam bidang perniagaan. 

Apa-apa pun, pertemuan selama hampir 5 jam siang tadi memang memberi banyak pelajaran kepada saya. Terima kasih untuk sahabatku. 

Thursday, 15 October 2015

8 Strategi Akhir Tahun Orang Berjaya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih boleh ucap lagi kan Salam Tahun Baru Hijrah? Tahun baru, azam baru. Azam tahun lepas bolos tak? :)

Bila tengok balik buku jurnal, ada tulis 5 azam. Alhamdulillah, satu sudah pun tercapai. Syukur. Yang lagi 4 sedang diusahakan. Boleh bawa ke depan la ni kot sebab dalam proses dah pun.

Pernah terfikir tak apa yang orang-orang berjaya buat bila sampai akhir tahun/awal tahun? Mesti mereka pun punyai azam tersendiri sesuai dengan status mereka kan?

Saya berpeluang membaca satu lagi ebook yang menerangkan kelaziman yang dilakukan oleh mereka yang sudah berjaya dan terkenal seperti Anthony Robbins, Brian Tracy, Jeff Goins dan seumpamanya.

Ada 8 strategi atau perkara yang pasti akan dilakukan oleh mereka-mereka ini iaitu:

1)  Lihat balik apa yang berlaku sepanjang tahun itu. Tengok apa yang telah dicapai, apa yang belum. Mereka ini ada buat jurnal Pencapaian untuk merekodkan apa yang telah mereka dapat perolehi sepanjang tahun. Dengan melihat pencapaian mereka, dapatlah mereka merangka apa yang ingin dicapai pada tahun baru pula. Boleh lah mereka berazam dan berimpian lebih besar lagi.

2)  Berfikiran positif. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Ini dibuat apabila melihat kepada perkara yang gagal dicapai. Mungkin disebabkan oleh diri sendiri atau mungkin disebabkan oleh orang lain. Maka, lihat, maafkan dan cuba positifkan. Kemudian, terus maju ke depan, jangan pandang dan fikir lagi pasal semua tu.

3)  Bersyukur. Sesuai sangat dengan orang Islam ni. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi. Mereka juga mempunyai jurnal kesyukuran yang ditulis setiap hari. Jadi pada hari akhir tahun tersebut, mereka akan luangkan masa selama 1- 2 jam untuk melihat balik apa yang ditulis di dalam jurnal tersebut.

4)  Buang apa yang tidak perlu. Ini boleh dilihat setelah perkara yang pertama tadi dilakukan. Bila dilihat balik pencapaian, pasti kita akan tahu apa yang perlu dan apa yang tidak lagi diperlukan untuk tahun hadapan. Mungkin ada prosidur yang boleh kita hilangkan dari SOP syarikat atau mungkin ada barangan kita yang tidak lagi diperlukan, boleh lah dibuang, derma atau apa saja yang bersesuaian.

5)  Mula set kan azam untuk tahun yang baru. Mereka akan buat untuk setahun terus.

6)  Permudahkan azam yang dibuat. Pecah-pecahkan kepada aktiviti yang boleh dan mudah dilakukan.

7)  Masukkan perkara yang dibuat dalam aktiviti 6 ke dalam kalendar tahun baru. Bersesuaian dengan rancangan tahun baru yang telah dirangka.

8)  Berehat untuk beberapa ketika. Mereka selalunya akan bercuti selama 2 minggu di akhir, bersama-sama dengan perayaan Krismas mereka. Setelah berpenat lelah bekerja selama 12 bulan, apa salahnya berehat sebentar untuk caj semula. In sya Allah, kembali bekerja selepas itu dengan lebih bersemangat.

Itu lah 8 strategi atau aktiviti yang dilakukan oleh mereka-mereka yang berjaya. Bila saya lihat balik semua tu, saya terfikir juga, aktiviti ni boleh juga kita lakukan setiap hari. Tak semestinya tunggu akhir tahun. Betul tak?

Tuesday, 13 October 2015

Tips Bangun Pagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Susah ke senang nak bangun pagi? Pukul berapa selalu bangun pagi-pagi?

Bagi diri saya sendiri, nak bangun pagi ada kala susah, ada masanya tiada masalah. Ada masanya pula bila bangun rasa penat. Dan kerap juga tekan butang "snooze" bila loceng jam berbunyi. 

Semalam habiskan satu ebook mini berkenaan bangun pagi. Dan seronok pula baca tips yang diberikan di dalam ebook tersebut. Antara tips yang diberikan adalah:

1.  Bila pasang "alarm" pada telefon atau kunci jam loceng, sebelum tidur tu letaklah telefon atau jam loceng tu jauh dari tempat tidur. Tetapi biar masih boleh didengari bunyinya.

Ini untuk mengelakkan dari senang untuk tekan butang "snooze" atau daripada kita tutup loceng dan sambung tidur. Lagipun, bila kita sambung balik tidur selepas terjaga, sebenarnya kita memulakan kembali kitar tidur kita. Itu yang sepatutnya tambah 10 minit je terus jadi setengah jam atau lebih. Dan bila kita bangun, badan kita jadi kurang bertenaga.

2.  Lagi satu, kalau kita guna telefon untuk pasang penggera, cuba gunakan nada yang boleh menaikkan semangat kita. Yang kita suka dengar. Contoh: letak lagu yang bila kita dengar mesti kita nak bergerak/menari. 

3.  Bila sudah bangun, buka langsir bilik. Walaupun keadaan masih gelap di luar sana, tetapi dengan membuka langsir sekurang-kurangnya kita dapat lihat kawasan luar. Lagipun, bila matahari mula nak naik, cahaya alam yang asli itu memberi manfaat kepada kesihatan kita juga. (Yang ini saya ada baca dalam jurnal kesihatan suatu ketika dahulu).

4.  Lakukan sedikit senaman ringkas. Senaman yang disarankan oleh ebook ini dipanggil "Shake and Bounce". Untuk melonggarkan urat-urat badan. Goncangkan badan secara santai. Buat dalam 2-3 minit aje.

5.  Pergi ke dapur dan minum air kosong yang dicampurkan sedikit garam. Ini adalah untuk melancarkan penghadaman kita. Teringat saya tentang satu post di facebook yang menyatakan Rasulullah SAW sebelum makan akan cuit sedikit garam terlebih dahulu (betulkan saya jika saya salah).

6.  Sebagai seorang Islam, solat Subuh. (yang ini tiada dalam ebook tersebut sebab penulis ebook adalah bukan Islam). Sebab itu seeloknya setkan penggera sebelum azan Subuh supaya kita sempat buat apa yang ditulis di atas. Lepas tu siap sedia untuk bersolat bila masuk waktunya.

7.  Di atas sejadah, selepas berdoa semua tu, lakukan pernafasan yang saya tulis dalam entri sebelum ini mengenai Minda Bawah Sedar. Buat sebanyak 10 kali.

8.  Sebelum mandi, berus badan kita menggunakan sikat atau loofah. Guna jari pun boleh juga. Caranya: Mula dari tumit, beruskan kaki ke atas menuju ke arah jantung. Kemudian, mula dari tangan berus ke atas juga menuju ke arah jantung. Tujuannya untuk melancarkan perjalanan darah. 

9.  Mandi dengan air sejuk. Air sejuk di waktu pagi boleh menghancurkan lemak-lemak dalam badan. Kalau tak silap saya, Islam juga menggalakkan mandi air sejuk di pagi hari, betul tak?

10.  Selesai sudah rutin selepas bangun pagi. Boleh lah kita buat apa yang perlu kita buat untuk hari tersebut. 

Tidak semestinya ikut turutan ni 100%. Boleh adaptasi mengikut keadaan. Mungkin boleh mandi dulu sebelum solat Subuh. Tetapi yang berus badan tu memang elok buat sebelum mandi.

Saya dah cuba buat pagi tadi. Terlepas yang berus badan tu aje sebab tengok masa macam tak sempat untuk hantar anak sekolah pagi. Tambah-tambah anak saya tu ada periksa PT3 hari ni. In sya Allah, esok saya akan cuba buat sepenuhnya. Kalau ikut kata penulis ebook tersebut, kita boleh nampak perbezaan selepas 2 minggu. Kita tengoklah macamana nanti. :)

Sunday, 11 October 2015

Berkenalan dengan Minda Bawah Sedar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan teruja. Teruja kerana berpeluang untuk mendalami ilmu Minda Bawah Sedar (MBS). 

Memang dahulu saya sudah dengar mengenainya. Dan pernah dibawa/ditunjukkan bagaimana untuk mengenalinya. Tetapi apa yang saya dapat dahulu hanyalah pengalaman berada di dalam gelombang alpha. Saya tidak diajar bagaimana untuk pergi ke gelombang alpha dengan sendiri, tanpa diatur oleh penceramah.

Sekarang saya berpeluang untuk buat sendiri. Sebab itulah saya rasa sangat teruja kerana saya sudah tahu potensi MBS itu memang sangat besar. Ia menguasai 88% dari potensi diri sebenar kita.

Baru 2 hari saya mencubanya. Apabila membaca ebook Magis Sebuah Fikiran yang dikarang oleh Master Rey, sambil saya membaca sambil saya mencuba jurus-jurus yang ditulis. 

Keesokan harinya, seperti biasa saya akan ke pasar Bangi untuk menjaga gerai sejuk beku kami. Dalam perjalanan dari tempat letak kereta ke gerai, saya melihat pengunjung pasar Bangi macam lebih ramai dari biasa. Secara automatik, saya memprogram MBS saya untuk mendapatkan rezeki yang lebih untuk hari itu.

Alhamdulillah, sepanjang saya berada di gerai pada pagi itu, saya merasa tenang dan tidak menggelabah. Pelanggan pula membeli tanpa banyak soal. Tengok, pilih terus bayar. Kalau sebelum ni tengok tengok dan tengok, tanya, minta diskaun baru ambil dan bayar. Tapi kali ni, semua pelanggan saya tengok, tanya harga, pilih, terus bayar. Subhanallah. 

Satu lagi yang saya perasan, waktu berlalu seolah-olah dengan cepat. Tak sempat nak rasa bosan. Kalau sebelum ni 3 jam di pasar saya rasa agak lama. Tetapi kali ini, tiba-tiba aja dah nak balik. Alhamdulillah. Semuanya kurniaan Allah. 

Saya buat lagi pagi ni. Program MBS untuk mudahkan urusan kerana suami saya tidak ada bersama. Beliau ke Perak atas urusan perniagaan yang satu lagi. Jadi agak huru-hara jugak untuk saya uruskan tanpa beliau. Mana nak pasang gerai, mana nak susun produk dan seumpamanya. Tetapi sekali lagi Allah telah permudahkan segalanya. Berjalan lancar tanpa cacat cela. Dan begitu juga masa berlalu cepat. Tiba-tiba dah nak balik. Allahuakbar. 

Untuk sahabat saya, di sini ingin saya kongsikan sedikit iaitu jurus pertama yang diajar di dalam buku tersebut. Caranya sangat mudah. Iaitu dengan mengawal pernafasan. Menggunakan kaedah pernafasan terancang 10 20 10. Begini caranya:

1.  Duduk atau berdiri santai.
2.  Tarik nafas melalui hidung dalam kiraan 10.
3.  Tahan nafas dalam kiraan 20 (kalau boleh. Kalau tak boleh, tahan setakat mampu)
4.  Hembuskan nafas dalam kiraan 10 juga. 
5.  Rehat dalam kiraan 5.
6.  Ulang lagi. Buat dalam 10 kali.

Apa yang saya rasa bila buat ni adalah kita akan rasa lebih tenang. Semasa tarik hembus nafas tu boleh lah fikirkan apa yang kita ingin programkan MBS kita. Menakjubkan ciptaan Allah.

Banyak lagi jurus yang diajarkan oleh Master Rey dalam buku beliau tu. Jika terasa ingin mendapatkan bukunya dan dapatkan ilmu terus dari pakar, boleh lah dapatkan nya di sini.

Wednesday, 7 October 2015

Kasih Abadi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Berada di pasar setiap Sabtu dan Ahad pagi, saya selalu nampak seorang makcik ni boleh dikatakan selalu datang ke pasar. Saya tidak tahu hari yang lain tapi sepanjang Sabtu dan Ahad saya di pasar, saya pasti akan nampak makcik ni datang. Dan dia pasti akan datang ke gerai saya sekurang-kurangnya sekali. Sama ada hari Sabtu atau hari Ahad. Without fail. Dia beli kepala ikan, isi ketam dan selalunya yang 3 paket RM10.00 tu (fish finger, crab roll, crab cake). Dia nak merasa udang galah tapi katanya terlalu banyak dalam satu peket tu. Dia tinggal berdua dengan suami sahaja. Kalau anak-anak balik rumah dia barulah boleh dia membeli udang galah tu.

Apa yang menarik hati saya adalah pasangan ni bila datang pasti berdua. Yang suami tukang bawa kereta, yang isteri tukang beli lauk dan makanan. Dan bila mereka datang, kereta dipandu masuk ke dalam pasar dan akan berhenti di gerai mana yang makcik tu nak pergi. Katanya tak larat nak jalan jauh-jauh bawa barang. Memang mereka sudah berumur. Mungkin dalam usia 70an. 

Bila kereta berhenti, makcik tu akan keluar. Pakcik tu pula akan bawa kereta keluar dari pasar atau pusing pasar. Bukan apa, tempat letak kereta memang agak jauh dan agak susah nak dapat parking. Jadi kalau tak ada orang nak lalu kawasan dia berhenti tu, dia akan tunggu makcik tu habis membeli. Tapi kalau ada orang nak lalu, terpaksa la pakcik tu pusing satu pasar dan masuk balik kemudiannya. Ada satu hari tu sampai tiga kali dia pusing baru lah dapat tempat parking. Dan dia keluar pergi gerai makan untuk tunggu makcik tu habis membeli.  

Saya memang tabik pasangan dua orang ni. Orang kata cinta hingga hujung usia. Dan tabik juga pakcik tu sebab walaupun dah tua tapi masih gagah bawa kereta untuk bawa isteri ke pasar. Tiap hari pulak tu. Kalau betul tiap hari lah. Tapi yang pasti tiap Sabtu dan Ahad pasti ada. Moga saya dan suami juga akan jadi seperti itu di hari tua kami nanti. Dan juga semoga semua orang juga mendapat pasangan yang sedemikian rupa. Amiin.

Sayang sangat dengan makcik tu :)



Friday, 2 October 2015

Yang penting itu Hati

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sambil menunggu pelanggan, berborak dengan pak cik India yang menjual pakaian di gerai sebelah.

Pakcik tu datang tengok produk kami. Dia terlihat kepala ikan merah yang kami jual. Dia menyapa "Wah, kepala ikan. Sedap ni"

Saya menjawab "Ha'ah. Masak kari sedap. Kari India atau Mamak memang terkenal kan?"

Pakcik tu cakap "Memang sedap. Istri saya masak cukup sedap. Taruk bawang-bawang, rempah kari, kasi masak semua, taruk susu kelapa, baru masuk kepala. Itu baru sedap."

Saya cakap lagi "Wah, uncle mesti pandai masak. Tapi selalu India tak taruk santan kan untuk kari?". Cuba minta kepastian. Teori yang saya dengar dari mana entah.

Pakcik tu jawab " Taruk ke tak taruk ke suka hati. Tak kisah. Tapi kalau taruk lagi sedap"

Dalam hati saya " Ooooo...gitu"

Pakcik tu cakap lagi "Tapi sebenarnya kita masak, hati mau ada. Kalau masak ada hati, masak apa pun sedap. Kalau hati tak ada, lauk banyak pun tarak sedap"

Saya tanya "Maksud uncle?" walaupun saya dah boleh agak maksud dia.

Pakcik tu cakap "Itu, kalau kita masak, hati mesti fikir mahu masak untuk orang makan, buat elok-elok. Kalau masak hati marah-marah, tak sedap."

Saya balas "Betul uncle. Orang Melayu cakap kena ikhlas masak. Ada rasa sayang masa masak. Nanti semua orang makan pun dia cakap sedap."

Gitu.


Monday, 28 September 2015

Aku Seorang Penjaga Gerai (Perkongsian Pengalaman)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sekarang saya merupakan seorang penjaga gerai. Haha.

Membantu suami dalam perniagaan sejuk beku beliau. Membuka gerai di pasar Bandar Baru Bangi setiap hujung minggu. 

Bergerak seawal 7:00 pagi dari rumah sehinggalah pukul 10:30 pagi gerai dijaga dan produk ditawarkan kepada pelanggan dan pengunjung pasar. 

Merupakan satu pengalaman yang baru. Sebelum ni saya seorang yang bekerja di pejabat. Kemudian berhenti. Masih juga duduk di hadapan komputer untuk membantu suami dengan perniagaan IT beliau. Memang sangat-sangat berbeza pengalaman duduk di pejabat, di depan komputer dengan duduk di belakang meja gerai, di bawah sekaki payung. 

Kalau dulu, berurusan dengan pelanggan hanya melalui email atau telefon. Tetapi sekarang, berdepan mata ke mata. Memang pelbagai kerenah pelanggan "live" di depan mata. Sungguh mahal pengalaman itu. Saya suka. Dan saya bersyukur kerana diberi peluang sebegini. Alhamdulillah. Mesti ada pengajaran yang Allah ingin berikan kepada saya. Moga dapat pula saya kongsikan bersama-sama di sini. In sya Allah. 

Monday, 14 September 2015

Itu rezeki mereka.

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Semalam sewaktu singgah di gerai nasi lemak makcik yang saya selalu beli, beliau terus menegur saya dengan kata-kata,

"Isyy..seronok kan depa yang dapat mati kat Mekah tu kan? Mati tengah buat ibadat"

Terkejut sekejap saya. Tapi saya mengiakan kata makcik tu.

Memang sewaktu mendengar berita tersebut, kita merasa sedih kerana kehilangan. Apatah lagi kaum keluarga yang terlibat.

Tetapi, jika dilihat dari sudut perspektif makcik tadi, kita juga patut merasa gembira (saya tidak tahu perkataan apa yang perlu diletak di sini. Meskipun perkataan gembira seolah-olah tidak sesuai, tetapi itu lah perkataan yang ada dalam perbendaharaan bahasa saya. Mungkin saya perlu belajar lebih lagi). 

Gembira kerana pengakhiran mereka di tanah suci, yang ramai orang idam-idamkan. Ya, itu rezeki mereka.  Fikir balik, bagaimana agaknya akhiran kita ya? 

Al fatihah buat semua mangsa yang meninggal. Semoga ruh mereka berada di kalangan mereka yang dirahmati dan diberkati Allah hendaknya. Ameen.

Sesuatu Yang Memang Perlu Di dalam Kehidupan




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah diamat-amati untuk kesekian kalinya, saya dapati memang untuk maju dan berjaya di dalam kehidupan, nak tak nak kita memang perlu menitikberatkan tabiat atau amalan kita. 

Kerana kita adalah makhluk yang tidak akan lari dari tabiat masing-masing, seeloknya tabiat yang baik kita sematkan. 

Sebagaimana yang telah ditulis di sini dan di entri-entri selepasnya, in sya Allah blog ini akan lebih berfokus kepada isu-isu tabiat, terutama sekali tabiat yang baik dan cemerlang. Ini adalah kerana kejayaan itu sendiri adalah merupakan satu tabiat.

Image result for habit






Friday, 11 September 2015

Perkembangan bisnes sejuk beku

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan sendiri

Alhamdulillah, meskipun sekarang asyik sibuk hingga tak sempat menulis blog, tetapi perkembangan bisnes sejuk beku kami boleh dikatakan amat memberangsangkan. Syukur atas rezeki Allah.

Memang betullah kata pakar motivasi. Jangan tunggu semua nak sempurna baru nak mula. Kalau dah ada sedikit sebanyak perkara yang boleh untuk kita mula, teruskan saja. Tak payah tunggu. Begitulah juga dengan bisnes kami ni. Bermula hanya dengan sebiji peti sejuk beku yang diletakkan di bawah garaj rumah kami. Sedikit modal dari suami dan rakannya, dapatkan stok dan terus mula menjual.

Pada permulaan, untuk membuka gerai pergi menjual di pasar pagi, agak segan juga kami nak buat. Tetapi, bila difikirkan, bagaimana kita nak capai pasaran sekiranya kita hanya meletakkan produk kami di rumah sahaja. Lagipun kami bukan insan terkenal. Kalau artis tu logik lah, bagi tau je dia ada bisnes, orang boleh cari. Tapi kami hanya insan biasa. Maka, di hari pertama tebalkan muka untuk mula menjual.

Alah bisa tegal biasa. Bila dah selalu buat, jadi ketagih pula. Seronok rupanya. Dan sedikit demi sedikit kami dapat perbaiki bisnes tersebut. Dari pasar pagi, kami buka pula di pasar tani. Kemudian, maju setapak lagi, buka di pasar malam. Kalau dulu, berniaga hanya di hari minggu, sekarang sudah setiap hari. 

Hubungan dengan pembekal juga semakin baik. Kalau dulu kami kena pergi sendiri ambil stok, sekarang stok dihantar ke rumah. Alhamdulillah. Dan kalau dulu stok baru kami ambil sekali seminggu, sekarang 3 kali seminggu. 

Sekarang nak tunggu kebenaran untuk dapatkan satu lot kedai untuk kami letak stok-stok kami. Sebab nak tambah satu lagi peti sejuk beku untuk tampung stok yang semakin pelbagai. Mudah-mudahan proses itu dipercepatkan. Ameen.

Dan semakin kami buat bisnes ni, semakin kami tahu apa yang perlu dibuat, ditambah dan diolah agar pelanggan berpuas hati. Memang sepatutnya begitu lah caranya buat bisnes ya? Buat dulu, lepas tu perbaiki, dan terus perbaiki sehingga semuanya berpuas hati. 

Antara produk-produk yang ada sekarang:

 Ketam bunga - satu peket 1 kg
 Udang harimau siap proses (dah buang kulit dah) - juga dipeketkan 1 kg
 Ketam soft shell - juga dipeket 1 kg
 Kepala ikan merah - saiz berbeza-beza dari 700 gm hingga 1.2 kg.
Telur ikan - stok telur ikan sangat terhad. Dan cepat pula habis. Stok sampai hari tu, esoknya sudah habis.
Isi ikan merah, juga dipanggil belly ikan. Di peket 1/2 kg. Segar isinya. Sedap dibuat kari atau goreng masam manis. 


















Thursday, 3 September 2015

Produk WANISA untuk wanita

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: laman Zhulian.com.my


Alhamdulillah, pelan perniagaan sudah pun siap. Sebentar lagi boleh cetak dan bukukan hehe.

Alhamdulillah juga kerana akhirnya saya berpeluang untuk mendapatkan satu produk tuala wanita yang sesuai dengan saya. Maafkan saya jika entri kali ini agak sensitif. Tetapi ingin juga saya berkongsi kebaikan produk kerana ia berkesan buat saya. Mana lah tahu jika ada orang yang mempunyai masalah seperti saya, kan?

Memang saya pernah pakai produk ini dulu. Malahan saya memakainya selepas saya melahirkan anak ke 8. Cepat baik luka bersalin saya berbanding jika saya memakai tuala wanita untuk perempuan bersalin. Ala yang ada tali tu. Yang tiada pelekat. Yang kita kena ikat pada pinggang. Dulu memang saya akan pakai tuala wanita sebegitu sebab bidan kata elok untuk jahitan hehe. Punya lah saya tidak berani untuk mengenakan tuala wanita lain selain yang itu. Sampai 7 anak saya, saya tetap menggunakan yang itu. Cuma yang ke 8 ni masa tu saya tak sempat nak dapatkan tuala wanita bersalin tu. Dan yang ada di rumah pada masa tu adalah tuala wanita WANISA. Jadi saya pun pakai sajalah. Dan ternyata ia memberi kebaikan pada saya, alhamdulillah.

Kemudian, saya terputus bekalan tuala wanita ini untuk hampir 2 tahun. Dan selama 2 tahun itu saya memakai pelbagai jenis tuala wanita, untuk "period" dan juga untuk panty liner. Ya, wanita berumur seperti saya dan juga yang telah melahirkan seramai 8 orang anak, pastinya perlu akan panty liner ni. Kalau zaman remaja dulu memang tak pakai. 






Nampaknya banyak-banyak tuala wanita yang saya pakai tu, satu pun tidak berapa sesuai dengan saya. Menjadikan saya tidak selesa. Kerengsaan. Kesakitan. Cukup saya cerita begitu sahaja lah ya. Tetapi saya terpaksa pakai juga sebab dah jadi macam satu keperluan bagi saya. 

Apa yang buat saya tahu yang WANISA ini sesuai dengan saya ialah sebaik sahaja saya memakai panty linernya, kerengsaan dan kesakitan saya itu beransur hilang. Tak sampai habis satu pek pun saya sudah rasa selesa sangat. Mungkin kerana cirinya yang mempunyai Far Infra Red dan ion negatif yang merencat pertumbuhan bakteria di kawasan itu. Lagi satu, bila datang bulan, tiada lagi bau-bau yang tidak menyenangkan hinggap di batang hidung saya. Alhamdulillah.

Benda yang baik elok dikongsikan ceritanya, betul tak?

P/S:  Bungkusan dia juga cantik :)











Wednesday, 2 September 2015

Pelan Perancangan Perniagaan




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Agak sibuk dua tiga minggu ni. Dengan urusan sosial dan urusan kerja.

Dalam masa seminggu, saya mendapat 2 orang anak saudara baru iaitu 2 anak saudara saya selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangan masing-masing. Alhamdulillah. Nasib baik juga tempat majlis diadakan tidak jauh. Di Kuala Lumpur dan juga Port Dickson. Dapatlah saya ikut serta.

Bisnes frozen suami pula alhamdulillah, berjalan dengan lancar. Dan kami sedang dalam perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut. Jadi, tengah perah kepala untuk menulis Pelan Perancangan Perniagaan. 

Image result for business planKalau dilihat gambar di sebelah, begitulah keadaan saya apabila menulis Pelan Perancangan tu. Bersepah. Kurang teratur. Al maklum, penulisan Pelan Perancangan bukan seperti menulis blog. Ayat perlu dipilih agar sesuai dengan Pelan yang ingin diketengahkan. Mesti nampak professional. Dan tidak caca merba.

Format Pelan juga perlu menarik. Ringkas tetapi padat. Dengan kata lain, kalau ingin diserahkan kepada pelabur, pelabur akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam mengenai perancangan yang kita sedang lakukan.

In sya Allah, hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk disiapkan. Dalam 30% saja lagi. Iaitu bahagian kewangan. Yang itu saya terpaksa serahkan kepada suami kerana beliau lebih arif perihal kewangan dan bagaimana analisa kewangan perlu diketengahkan. Malam ni siaplah tu. 

Marilah berkunjung ke laman facebook perniagaan frozen kami iaitu di https://www.facebook.com/DKejoraFrozen. Manalah tahu kalau-kalau ada yang teringin makan makanan laut, boleh lah lihat produk-produk yang ada. 

Wednesday, 26 August 2015

Jangan Takut Berimpian

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, syukur.

Pelbagai perkara berlaku dalam seminggu ini. Ada yang membuatkan hati rasa sangat tersentuh dan sebak kerana terharu dan gembira. Ada juga yang membuatkan perasaan ini sedih tetapi belajar merelakan.

Di awal tahun 2015, salah satu impian atau azam tahun baru yang saya tulis dalam buku jurnal saya adalah untuk memperbaiki amalan akhirat saya terutama sekali solat. 

Kata orang, apa yang kita inginkan patut kita tulis, kemudian sentiasa bayangkan dan fokus. Setiap hari. Tanpa ralat.

Memang dalam tempoh seminggu dua selepas menulis impian tersebut, saya masih berfokus. Tetapi lama-kelamaan fokus itu hilang dek kerana kesibukan kerja-kerja harian. 

Saya disedarkan kembali kepada impian saya itu apabila saya terlihat satu status di facebook berkenaan Teknik B.A.D iaitu Bertanya Allah Dahulu. Syukur, ebook Teknik B.A.D diberi muatturun secara percuma oleh penulis. Saya habiskan ebook tersebut dalam masa 45 minit. Sebab saya sangat teruja. 

Dari situ, saya diingatkan tentang amalan akhirat yang ingin saya buat. Alhamdulillah. 

Tidak lama kemudian, buku fizikal Teknik BAD pula diterbitkan. Dan saya dilorongkan untuk membeli dengan salah seorang insan yang memperkenalkan pula Teknik Asmaul Husna. Saya didedahkan pula dengan cara zikir menggunakan nama-nama Allah. Memang sebelum ini saya pernah membaca buku mengenai Asmaul Husna dan pernah berkongsi kisahnya di dalam blog lama saya. Tetapi saya tidak istiqamah mengamalkannya. Kini, Allah sekali lagi ingin mengingatkan saya tentang perkara ini. Allahuakbar.

Memang benarlah, kalau kita menginginkan sesuatu dan selagi ia tidak bercanggah dari suruhan Allah dan bila kita fokus, in sya Allah Allah akan bawakan kita ke arah itu. Tidak dengan sekelip mata tetapi sedikit demi sedikit. 

Itu hanyalah satu dari impian yang saya tuliskan. Ada lagi beberapa impian yang saya tulis. Dan mudah-mudahan saya juga akan ke arah itu sedikit demi sedikit. 

Apa yang ingin saya tekankan di sini, tidak perlu takut untuk berimpian. Meskipun dengan keadaan kegawatan ekonomi dan politik yang tidak menentu sekarang ini, tidak usah melatah dan merasakan yang kita sudah tiada jalan keluar. Banyak ketakutan yang dituliskan sama ada di facebook mahupun di dalam media yang lain. Ada yang fitnah pun ada. Namun, kita ada Allah. Dan Allah pasti akan selamatkan hambaNya, in sya Allah.

Wednesday, 19 August 2015

5 Jenis Blogger

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Cukup dahulu kita bercerita mengenai bisnes frozen. Jika ada sesiapa yang ingin melihat produk dan mendapatkan update bisnes tersebut, boleh lah ke sini

Saya baru selesai baca mengenai jenis-jenis blogger. Menarik juga membacanya. Kalau ikutkan, banyak jenis blogger ni sebenarnya. Tapi, yang paling popular ada 5 jenis iaitu:

1.  Jenis Wartawan (Journalist) - blogger jenis ini suka mengadakan temuramah dengan personaliti pilihan beliau, mengikut genre blog. Jika genre blog adalah hiburan, maka para artis dan mereka yang terkenal akan ditemuduga. Hasil temuduga akan ditulis di dalam blog.

2.  Jenis Keagamaan (Prophet) - selalunya mereka ini akan membincangkan isu-isu semasa seperti isu politik, isu agama dan sebagainya. Saya pun tak faham kenapa dia letak nama Keagamaan sebagai jenis blogger ini. Tetapi mungkin ingin menunjukkan bahawa blogger jenis ini akan mengupas satu isu dari segi moral dan mungkin keagamaan. Apa jua jenis agama. 

3. Jenis pereka (Artist) - mereka akan selalu membicarakan atau memaparkan hasil rekaan mereka. Contoh: pelukis komik. Blog mereka akan dipenuhi dengan komik yang mereka hasilkan. Atau mungkin pengusaha kek. Mereka akan bercerita mengenai kek yang mereka buat. Dan pelbagai jenis rekaan lain lah.

4.  Jenis Professor - blogger ini selalunya akan berkongsi apa sahaja yang dibaca, dilihat atau didengari. Mereka lebih kepada fakta dan informasi.

5.  Jenis Selebriti - mereka ini lebih suka mengumpulkan orang ramai di dalam satu komuniti. Mereka akan bercerita mengenai komuniti tersebut dan mengajak orang ramai untuk ikut serta berkongsi cerita dan pengalaman di dalam komuniti yang dicipta. 

Setelah diamat-amati, saya mendapati saya lebih menjurus kepada jenis yang ke 4. Sebab hobi saya ialah membaca. Dan selalunya apa sahaja yang saya baca, ingin sekali saya kongsikan dengan ramai orang. Mana lah tahu, ada orang yang akan dapat manfaatnya. Salah satu perkongsian saya ialah apa yang saya tulis ini lah :)

Jadi, yang mana satukah anda?

Tuesday, 18 August 2015

Pengalaman 2 Hari Berniaga di Pasar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru dua hari pengalaman di pasar. Dan saya sendiri di sana pun tak sampai 3 jam. Dalam 45 minit aje. Selebihnya suami dan rakan beliau yang uruskan. Tetapi dalam dua hari dan sekejapan berada di pasar sana, banyak juga pengalaman yang dapat saya rasa.

Ada sekali tu, seorang lelaki OKU datang ke gerai kami. Sambil tersengih-sengih, seplastik air di tangan, beliau datang meninjau. Kami sapa "Udang galah encik". Dia balas balik sambil tersengih "Hah? Labah-labah?". Haha. Tergelak besar kami.

Seorang kakak pula datang dan lihat pada banner kami. Kami pun sapa "Kak, udang galah kak". Dia menjawab "Laa, udang. Ingatkan karipap". Haha.

Itu antara hiburan yang kami dapat setakat baru dua hari berniaga di pasar. Yang saya seronok ialah silaturrahim para peniaga di sana. Walaupun kami masih baru, masing-masing tidak lokek berkongsi cerita. Beramah mesra, bertegur sapa. Jadi kami tidaklah rasa janggal berada di situ.

Saya juga suka tengok cara setiap seorang berniaga. Boleh buat nota ni. Yang pastinya, untuk berniaga di gerai, kita tidak boleh duduk diam saja. Mulut mesti bukak. Orang tak beli tak apa, asalkan orang tau apa yang kita jual. Kalau duduk aje, tunggu orang tanya memang sampai sudah payah nak laku. Mungkin peniaga otai sudah tau perkara ni. Kami yang masih mentah ni baru tahu. 

Sekali lagi, doa saya semoga kami akan istiqamah di dalam perniagaan ini. Dan tabah menghadapi ujian yang pasti akan datang. Dan semoga impian untuk dapat bina kedai sejuk beku kami sendiri akan tercapai. Ameen.

Sunday, 16 August 2015

Bisnes Frozen Berjalan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: milik sendiri

Alhamdulillah.

Bisnes frozen yang dikatakan ingin dimulakan kembali telahpun bermula. Sedikit stock telah diperolehi. Keesokannya, terus dibawa ke pasar di Bandar Baru Bangi untuk dijual.

Alhamdulillah juga, walaupun bergerak ke pasar sedikit lambat, sambutan boleh dikatakan memuaskan. Stock telur ikan dan udang harimau yang dibawa habis dijual. 
Mudah-mudahan kami semua dapat istiqamah dan terus menerus bersemangat untuk menjalankan bisnes ini. 



Harapan kami:

Untuk buka kedai frozen suatu hari nanti dengan keuntungan yang diperolehi. Setakat ini dibuat kecil-kecilan terlebih dahulu. Kalau orang putih kata "garage business". Yang dilakukan di garaj sahaja. Belum ada kedai. Jadi, berniaga di pasar pagi sahaja dahulu. Dan tidak mahu bermodalkan duit pinjaman dari bank atau mana-mana institusi. 

Mudah-mudahan Allah perkenankan. Dan mohon didoakan juga. Ameen.



Wednesday, 12 August 2015

Berniaga dan Cabaran

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah.

Saya diberitahu yang in sya Allah bisnes sejuk beku yang tergendala selama setahun akan dimulakan sekali lagi bermula hujung bulan ini. 

Kenapa tergendala? Saya pun tidak pasti. Mungkin ada ketidaksefahaman antara rakan kongsi? Atau juga mungkin kerana masa. Apa-apa pun saya tidak mahu soal siasat dengan lebih lanjut kerana tidak mahu tersentuh perkara-perkara sensitif, jika ada. Sebab saya sendiri pun bukan rakan kongsi tetapi sekadar pembantu sahaja. 

Begitulah adatnya bila kita berniaga. Terutama sekali jika kita tidak lakukannya seorang diri. Mempunyai rakan kongsi. Memilih rakan kongsi untuk satu perniagaan amat penting. Kalau boleh biarlah rakan kongsi kita tu mempunyai misi dan visi yang selari dengan kita. Baru lah boleh kekal lama.

Setakat ini, sepanjang pemerhatian saya pada bisnes yang dijalankan oleh pasangan saya, acap kali bisnes beliau terpaksa digantung dan setelah itu ditutup hanya kerana rakan kongsi beliau tidak sanggup meneruskan perjuangan bersama. Bahkan perniagaan sekarang ini yang dahulunya dimulakan dengan 3 orang rakan kongsi tinggal dia seorang sahaja yang menguruskannya. Kenapa? Wallahuallam. Hanya beliau yang tahu sebab sebenarnya. Dan saya tidak mahu tanya lebih-lebih kerana ini melibatkan persahabatan beliau. Yang pastinya, apabila perniagaan mula menampakkan sedikit masalah, beliau ditinggalkan. 

Sebagai seorang isteri yang melihat seorang suami yang bertungkus lumus dari dahulu dan tidak pernah kenal erti serik untuk terlibat dalam bidang perniagaan, ingin saya lihat beliau berjaya untuk sekian kalinya. Dan saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu setakat yang saya mampu dan setakat yang saya pandai. In sya Allah. Harapan saya mudah-mudahan satu hari nanti kami berdua dapat mengembangkan perniagaan beliau, ameen. 


Monday, 10 August 2015

Insan Hebat dan Pengurusan Masa



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Alhamdulillah. Saya rasa teruja pula bila blog ini mendapat kunjungan dari seorang insan yang hebat iaitu Puan Husna Haron. 

Setelah melihat laman web beliau mengenai pengurusan masa bagi ibu yang bekerja dan juga suri rumah, pendek kata untuk para ibu lah, tidak kira yang bekerja atau sebagai eksekutif rumah tangga, pelbagai manfaat boleh kita perolehi hanya dari website tersebut. Belum hadiri seminar beliau lagi. Kalau hadir, pasti lagi banyak manfaatnya. Mudah-mudahan saya dapat hadir ke seminar beliau suatu hari nanti.

Jom ramai-ramai kita serbu www.efficient2me.com

Bercerita mengenai pengurusan masa, saya ada baca banyak perkongsian dan saranan dari pakar motivasi tentang cara bagaimana untuk menguruskan masa.

Salah satu cara yang disarankan adalah dengan mencatit masa kita melakukan sesuatu pekerjaan.

Image result for jam randik
Contoh: 
Sebagai seorang suri rumah, banyak kerja-kerja rumah yang perlu kita lakukan dalam satu hari. Menyapu rumah, mop lantai rumah, basuh baju, jemur baju, lipat baju, masak dan macam-macam lagi. Kadang-kadang satu satu kerja itu memakan masa yang lama. Apatah lagi untuk keluarga yang agak besar macam saya. Kalau lipat baju memang lebih dari setengah jam, boleh jadi satu jam juga. Ya lah, baju untuk 10 orang, dan hasil basuhan 2 kali mesin basuh :) Memang lama.


Jadi saranan yang diberi itu adalah untuk catit masa berapa lama setiap kerja itu dilakukan. Pakai jam randik, ada? Hehe. Saya guna "timer" pada telefon bimbit. 

Untuk jadikan kerja-kerja itu menarik dan tidak membosankan, di samping memberi kita motivasi dan keterujaan untuk melakukan kerja tersebut, cuba cabar diri sendiri untuk pecahkan rekod masa kita untuk kerja-kerja tersebut. Kalau hari ini saya siapkan lipat baju selama 45 minit, esok saya harus cuba siapkan kerja tu dalam masa kurang dari 45 minit. Bertanding dengan diri sendiri. Bukankah antara sifat manusia itu adalah "competitiveness" iaitu suka bertanding dan kalau boleh nak menang sentiasa. Jadi, bertandinglah dengan diri sendiri dan tengok setakat mana kita boleh lakukan. Sedikit sebanyak boleh lihat potensi diri sendiri juga, betul? 

Akhir sekali, dalam kita berkejar-kejar untuk jimatkan masa, jangan lupa untuk selitkan juga masa untuk rehat. Karang tak pasal-pasal ada yang jatuh pengsan sebab nak kejar masa dan nak tandingi diri sendiri. Nak perkara elok, tiba-tiba dapat yang tak elok. Tak nak lah macam tu. Kita juga perlu beri hadiah untuk diri sendiri. Berehat sebentar bersama kit kat   juga boleh jadi satu hadiah. :)
Asal jangan rehat yang terlebih lama sudah sampai satu kerja pulak tak dapat buat haha. 

Friday, 7 August 2015

Ilmu, Minda dan Kempen

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Baru selesai khatam 5 video percuma dari Dr Azizan Osman. Sangat menarik perkongsiannya. Dan membuka minda. Saya suka kenyataan beliau mengenai ilmu dan informasi. Kita sebagai manusia mesti selalu menimba ilmu. Jangan cepat merasa puas dan rasa dah cukup pandai. Sebab semakin kita timba, semakin kita rasa banyaaak benda yang kita tak tahu, betul tak? 

Dan sebagai seorang suri rumah, saya sering juga dimomokkan dengan kenyataan yang berbunyi begini:

"Suri rumah asyik duduk di rumah aje, minda tidak berkembang. Berbeza dengan orang yang bekerja. Jumpa orang, keluar dari tempurung, minda lebih luas".

Kalau kenyataan ini disebut pada suatu ketika dahulu iaitu di zaman internet belum ada, saya mungkin bersetuju. Tapi tak lah 100%. Kerana saya percaya yang kita masih boleh belajar walau dengan seekor semut. Maka, suri rumah yang sering berperang dengan semut, masih boleh berkembang mindanya. 

Zaman sekarang, dengan teknologi yang canggih, internet di hujung jari, kalau tidak di komputer, di telefon bimbit pun boleh, kenyataan tadi sudah tidak relevan lagi. Malah saya tidak terkejut jika ada ramai suri rumah yang lebih berkembang mindanya berbanding dengan yang bekerja. 

Atas sebab itu lah juga saya ingin mencabar diri saya sendiri untuk mengekalkan tabiat membaca dengan membuat satu cabaran atau kempen "Satu Bulan Satu Buku". Tak kira lah buku fizikal atau ebook. Saya juga ingin mengajak pembaca blog (jika ada) untuk ikut serta dalam kempen ini, boleh? Kalau ada yang sudi, saya ingin sekali menjadikan ia satu event yang agak besar, dengan mengajak pembaca untuk berkongsi apa yang dibaca dan mungkin akan diberikan hadiah atau cenderahati? Itu semua dalam perancangan dahulu. Sebab pembaca blog saya pun bukan ramai lagi pun. Tapi jika ada yang membaca dan ingin menjemput rakan-rakan menyertai boleh aja. Jika saya lihat macam ada sambutan, in sya Allah akan saya buat satu post khas untuk kempen ini. In sya Allah, Allah Ya Baari'.