Thursday, 29 December 2016

Apa Kekuatan Anda?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Dua tiga hari lepas, ada buat survey yang dapat dari email. 120 soalan semuanya. Survey untuk tahu apa kekuatan diri sendiri. Sebab diri sendiri ni memang tak tahu pun sebenarnya apa yang lebihnya diri ini. 

Terus dapat keputusan dan ada 24 kekuatan yang diberi penekanan. Kekuatan saya adalah pada "rasa cinta untuk pembelajaran". Itu kekuatan yang paling utama pada saya. Katanya, saya akan bersemangat bila dapat pelajari benda baru, atau kepakaran baru atau ilmu baru. Dan saya akan pelajarinya sampai faham. Tak kiralah secara formal atau sekadar belajar sendiri, saya suka belajar bukan sebab ingin dapat markah atau dapat pingat ke apa ke, tetapi sebab ilmu atau pengetahuan itu sendiri yang menarik minat saya. 

Hmmmm...saya rasa memang betul lah. Sebab hobi saya memang suka membaca. Dan kalau ada perkara baru yang dibaca saya akan buat kajian saya sendiri. Kalau kebetulan ada seminar atau workshop, ada peluang dan budget cukup, saya akan ikut.  

Sekarang ni, bagaimana saya boleh gunakan kekuatan saya ini untuk memberi manfaat pada orang lain? Salah satunya ialah dengan berkongsi pengetahuan yang saya dapat lah. Setakat yang saya tahu dan faham. 

Dua lagi kekuatan yang saya ada (saya ambik the top three je) adalah kerendahan hati dan kesaksamaan. Apa benda tu? Wallahuallam hahaha. Apa pun, fokus pada yang pertama tu dulu lah. 

Wednesday, 28 December 2016

Kenapa Perlu Curi?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Ingat nak tulis cerita ni kat facebook tapi bila fikir balik rasanya tak payah la. Nak hidupkan balik semangat blogging ni walaupun untuk diri sendiri. Mungkin juga untuk tatapan anak-anak nanti.

Kisah berlaku 2 minggu lepas. Masa tu cik abang pergi money changer nak tukar duit. Saya dan anak-anak pergi "beli belah jendela" (read: window shopping). Bila dah selesai tugas semua, dah beli apa yang nak dibeli, singgah kedai beli waffle. Sementara tunggu waffle siap, cik abang kata dia nak letak barang-barang belian dalam kereta. Jadi, dia pergi dulu lah. 

Tak sampai 5 minit, tiba-tiba cik abang datang balik. Tanya dia "Kenapa?" Dia tanya balik "Handphone saya mana?" Lerr...ada pada dia lah kan. Tapi katanya tak ada. Dia suruh saya call. Bila telefon, tak ada nada dering. Macam telefon ditutup atau tiada talian. Lak sudah, kena ambil dek orang ke? Kalau tersilap letak kat mana-mana selalunya mesti ada nada dering kan? 

Diingat-ingat balik, tempat yang cik abang pergi hanya money changer dengan farmasi sahaja. Jadi kemungkinan besar ada kat kaunter money changer. Dia pergi balik ke sana sementara saya masih menunggu waffle. Dah dapat waffle, suami masih tak turun-turun. Kami pun naik la ke kedai money changer tu. 

Bercerita dengan orang kaunter tu, kata adik tu nanti dia cek dekat CCTV dia. Tak lama pun dia cek, tiba-tiba dia keluar cakap dengan cik abang "Abang, memang handphone abang ada tertinggal kat kaunter sini. Abang tunggu sekejap ye. In sya Allah, abang akan dapat balik telefon abang tu."
Hmmm...maknanya? "Ada orang ambik ya? Adik kenal orang yang ambik?" soal cik abang.
"Ha ah. Abang tunggu sekejap ya?"

Nampak dia ke kedai sebelahnya. Lepas tu dia keluar dengan muka kecewa. Dia cakap "Saya confront dia tapi dia tak nak mengaku. Tak apa, nanti saya ambik snapshot kat CCTV. CCTV kami memang clear sebab pakai IP camera. Ada 8 angle pulak tu. Memang clear sangat"

Dia masuk kedai dia. Lepas tu keluar dan ke kedai sebelah sekali lagi. Mungkin berunding ke apa ke. Tup tup keluar sorang lelaki dari kedai sebelah tu dengan muka menggelabah. Dia turun pergi ke mana entah. 

Adik tu datang lagi dan cakap "Dia cakap ada pada wife dia. Nanti dia pergi ambil" Sementara tu, kawan si adik kedai money changer tu tengah cakap dengan orang dalam kedai sebelah tu, mungkin kawan lelaki tadi. Dengar sebijik sebijik member tu cakap "Akak bukan apa dik. CCTV kami memang clear. Kalau customer mintak nak tengok akak boleh bagi. Akak boleh bagi copy pun kat customer tu. Kalau dia pos dekat facebook dan buat viral, siapa yang malu nanti. Nanti kedai ni jugak yang dapat tempias." Tu dia...masa ni terasa untung jugak orang duk viral viral kan cerita kat facebook ni kan? 

Dah tunggu lama lelaki tu tak datang-datang, kami pulak sebenarnya nak kena bertolak ke airport sebab cik abang punya flight dah nak sampai masanya. Kami pun bertukar-tukar nombor telefon dengan adik di kedai money changer tu dan bagitau, bila dah dapat balik telefon tu nanti saya akan datang ambillah. 

Bergegas ke kereta, tup tup dapat panggilan telefon. Rupanya telefon cik abang dah pun dipulangkan semula. Apa lagi, berlari lah cik abang pergi ambik. Alhamdulillah, tak ada apa yang hilang pun. Sebenarnya dekat phone case tu ada terselit duit sedikit. Tetapi mungkin sebab tak sempat di belek lagi, duit masih ada di situ. Syukur sangat-sangat.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang tu, tak habis-habis kami bersyukur. Ye lah, biasanya bukan mudah nak dapat balik henfon kalau dah kena ambik dek orang, betul tak? Cik abang pun cakap, dia dah rasa redha dah yang henfon dia tu hilang. Tapi syukurlah, rezeki dia masih ada. Itulah kelebihan teknologi dan juga kecekapan team kedai money changer tu. Tabik sangat dengan team kedai tu. Lain kali, kalau nak pakai CCTV, pilihlah yang ada IP camera. Memang sangat jelas. 

Dalam hati saya sendiri, mungkin ini adalah satu pengajaran untuk kami. Mungkin juga satu teguran dari Yang Maha Esa, siapa tahu kan? Adalah tu benda yang nak diajarkan pada kami. Mudah-mudahan kami akan sentiasa beringat-ingat. Amiinn.

Monday, 12 December 2016

BERTAHAN WALAU DIRANTING RAPUH

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: my own doodle


Countdown untuk tahun 2017 😍

Nak buat azam tahun baru nanti kan?


Dalam hidup kita, sentiasa ada turun dan naik. Ada masa kita bersemangat, ada masa kita rasa sangat "down". Itu adalah perkara yang biasa. Tak akan pernah ada seorang pun yang hidupnya sentiasa di atas sepanjang masa. Itu adalah hukum Alam. Tak boleh lari.

Apa yang kita boleh buat hanyalah bertahan. Walau ribut taufan, tsunami, gempa bumi, cemuhan, tohmahan, maki hina dan semuanya datang menimpa, yang pasti akan menyebabkan hati remuk dan membuat kita terasa ingin mengalah, teruskan bertahan. Walaupun dahan tempat bertahan itu hanya lah ranting yang sangat nipis, tetapi jika kita bertahan sudah pasti kejayaan dapat dikecapi. 

Kerana Allah itu MAHA ADIL 😉 Pegang yang itu, pasti kita tidak akan mudah mengalah. Mudah-mudahan.


Sunday, 11 December 2016

Jom kemas katil.

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru tau kenapa semasa di asrama dulu kita amat diperlukan untuk kemas katil tiap kali lepas bangun tidur. Kemas pulak mesti dengan betul. Tarik cadar sampai tegang. Kalau baling syiling kat tengah katil, syiling tu boleh melantun. Begitulah tegangnya cadar kita tu.

Apa perasaan kita bila kita tengok katil yang kemas? Pergi sekolah, balik je tengok katil cantik. Pergi kerja pun begitu juga. Kalau di asrama dulu, siap pengawas atau warden buat spot check nak tengok katil cantik ke tak. Dan kalau cantik, dapat la markah. Kalau tak, kena denda hehehe.

Rupanya, ia adalah satu aktiviti yang baik untuk kesihatan minda kita dan juga untuk motivasi diri sendiri. Sebab bila kita berjaya melakukannya setiap pagi, ia memberitahu minda kita bahawa kita telah dapat melakukan sesuatu dengan jayanya. Without fail. Cantik, Kemas. Berjaya!!!

Itu akan memberi satu rangsangan kepada minda agar terus bersemangat untuk melakukan kejayaan demi kejayaan pada hari itu. Sebab tu kita akan lebih bersemangat untuk ke sekolah atau ke tempat kerja kalau kita dapat siapkan kemas katil. Tak percaya? Boleh cuba...

Saturday, 10 December 2016

Kenangan silam - back to the future?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru balik dari gerai cik abang. Membantu serba sedikit apa yang patut. 

Dalam perjalanan balik, pasang radio dalam kereta. Biasa la, tak suka suasana sunyi. Dengar radio Mix.fm. Banyak pulak dipasang lagu-lagu lama yang mengundang nostalgia. Kenangan waktu sekolah rendah, sekolah menengah, di matrikulasi dan di universiti. Kepala pun mula la melayang-layang. Teringat kisah suka-duka. 

Dulu pernah juga terfikir, kalau Allah berikan peluang untuk kembali ke zaman lampau, waktu mana kah yang ingin saya kembali? Waktu kanak-kanak atau zaman persekolahan? Atau zaman mula-mula kerja? 

Sekarang, bila difikir-fikir kembali, dengan kepala melayang mengingati waktu-waktu tersebut, rasanya saya tak akan ingin mengulangi kembali apa sahaja yang sudah saya lalui. Cukuplah hanya sekali. Dan kalau dapat ulang kembali pun, mungkin saya tetap akan melakukan perkara yang sama juga dan tidak akan mengubah satu apa pun. Bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang saya dapat sekarang dan apa yang saya jadi sekarang. 

Speaking sikit...
"It has been a long time. I have gone through a lot and all those experiences and memories are very precious. It gives me a lot of lessons and I wouldn't change it for anything. Thank you Allah for all the things that were given to me and I hope  that all these experiences can be used for good causes in the future, in sya Allah"

Friday, 9 December 2016

Apa khabar sahabat lama ku (baca: blog ku)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Fuyoo...lama giler tak jenguk blog. Sibuk sangat ke? Rasanya tidak la sibuk sangat tapi lebih kepada perasaan ingin menyepi dari segala media. Di facebook pun senyap, di whatsapp dan telegram pun senyap. Kenapa begitu? Entah, diri sendiri pun tak tahu. Mungkin ia satu fasa kot.

Baru pulang dari kampung. Kepenatan. Tetapi tersuntik semangat baru jugak. Semangat ni mungkin perlu untuk tahun baru ni nanti, in sya Allah. Memang betul jugak la orang kata, kita perlukan kerehatan dari segala aktiviti yang kita buat untuk sekian lama. Balik kampung ni memberi kerehatan dan juga beri peluang untuk keluar dari rutin harian yang makin lama makin menyesakkan kepala. Hehehe. Mungkin itu sebabnya timbul satu semangat yang baru ni. Syukur.

Dah nak masuk tahun baru dah ni. Dah tiba masa untuk lihat balik segala azam, keinginan dan apa saja yang ditulis pada awal tahun hari tu. Berapa persen berhasil dan berapa azam yang dalam proses. Lepas tu boleh lah merangka azam yang baru pula. Lepas ni boleh lebih kerap menjengah blog ni kot. Untuk diri sendiri pun. Sebab tak mahu beli diari, mungkin boleh gunakan blog ni sebagai diari bagi tahun 2017 nanti. In sya Allah.


Sunday, 31 July 2016

Jom cuba resepi untuk detox

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih berkunjung ke open house ke? Dekat-dekat nak habis syawal ni makin ramai yang buat open house kan? Ibu sendiri pun semalam aje dah 3 tempat menjelajah. Kenyang betul hehehe.

Bermula minggu lepas, ibu dah ikut balik program Conquer Your Mental Battle (CMB). Kali ni program ni adalah khas untuk semua peserta CMB yang lepas-lepas. Tiada peserta baru. Namanya pun diberi CMB X, untuk menunjukkan yang ianya lebih xtreme hehe. Extreme dari segi senamannya lah sebab ia lebih bersifat berintensiti tinggi. 

Sebelum memulakan minggu pertama hari tu, kami juga telah diminta untuk detox diri sendiri terlebih dahulu. Kami diberi jadual pemakanan untuk detox, siap dengan resepi untuk makanan yang perlu diambil. 

Ibu rasa ingin kongsi satu resepi smoothie yang diberi yang rasanya sangat sedap dan boleh diamalkan jika nak. Nak tak resepinya? Ibu letak je lah ye. 

Nama untuk smoothie ni adalah Apple Burst Juice. 

Bahan-bahan dia, sila tengok gambar kat bawah:


Sebiji epal hijau
Isi nenas (secukup rasa - kalau nak masam letak banyak, kalau tak letak sikit je)
Daun pudina
Limau nipis, perah airnya.

Campurkan semua bahan dalam blender, boleh letak ais atau air sahaja, blend dan terus minum. 

Senang kan? Sedap pulak tu. Dan mesti terus minum jangan tunggu lama. Sebab kalau lebih dari 30 minit terdedah, nutrisinya akan hilang.

OK itu sahaja untuk kali ini. Selamat Mencuba!!


Thursday, 14 July 2016

Detox Lepas Raya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Semalam bermula rejim detox menggunakan produk yang suami dapat percuma. Diberinya dua set, jadi ibu pun dapat rasa sekali. Sebab rejimnya hanya untuk 5 hari sahaja. Lepas tu cuma teruskan dengan cara kawalan pemakanan. 

Hari pertama semalam bermula, asyik ke tandas je nak buang air kecil. Minum air memang banyak lah sebab pack yang diberi isinya pekat-pekat. Jadual dia pulak, kami kena minum 6 kali sehari ikut packet yang diberi. 

Seawal 8 pagi, kemudian 10 pagi, lepas tu 1 petang, 4 petang, 7 malam dan 10 malam. Ada rasa lapar la jugak lepas tengahari tu. Mau tak nya, asyik buang air je kan. 

Malam tu pulak, cirit birit. Keluar masuk tandas buang air besar. Pukul 4 pagi pun masih kena bangun, dipulasnya perut sampai tak boleh tidur. Memang hebat. Dekat Subuh baru reda. 

Ni masuk hari kedua. Macamana la pulak hasilnya ya? Kita tengok lah macamana hehehe.

Produk yang kami dapat ni sebenarnya produk baru. Akan diperkenalkan sedikit masa lagi. Kami merasa dahulu sebab tugas kami adalah untuk buat kertas kerja bagi produk ni. Dah pun melalui fasa kajian, ujian dan semuanya. Selalunya untuk kami buat kertas kerja, semua produk perlu ada research terlebih dahulu dan juga perlu ada sokongan dari universiti tempatan. Jadi, nak makan produk ni pun kami tak lah risau sangat. Hehehe. 

Apa pun, doakan ibu dapat melepasi proses detox ini dengan jayanya, in sya Allah.

Tuesday, 12 July 2016

Syawal Tiba - Jom Pasang Matlamat

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Subhanallah.

Hari Raya Aidilfitri sudah pun datang. Selamat Hari Raya ibu ucapkan kepada semua yang meraikan. 

Syukur sangat-sangat pada tahun ini ibu berpeluang untuk berhari raya bersama ayahanda tercinta di Melaka. Dan berpeluang juga untuk pulang ke kampung sebelah suami untuk beraya bersama adik-beradik ipar (ibu dan bapa mertua dah pulang ke rahmatullah - semoga roh mereka dan roh mak ibu berada di dalam rahmat dan lindungan Allah sentiasa hendaknya, amiin)

Matlamat untuk bulan Syawal:

  • Habiskan ganti puasa secepat mungkin - berangan juga nak puasa 6 tetapi ganti puasa harus didahulukan.
  • Turunkan lagi berat badan untuk capai 65 kg (berat ideal yang sangat ideal hehe)
  • Menyiapkan beberapa kertas kerja yang diamanahkan oleh sahabat
Nampak macam sikit je matlamat tu hehehe. Tapi nak menyiapkannya memerlukan disiplin dan semangat jugak hahaha. 

Mudah-mudahan matlamat ibu ini akan tercapai. In sya Allah.


Tuesday, 21 June 2016

Setengah bulan Ramadhan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Subhanallah. Ingatkan di bulan Ramadhan ni akan ada banyak masa sedikit untuk update blog. Namun, itu hanya perancangan manusia. Allah lebih tahu. :)

Di bulan ini, rupanya sibuknya lain macam sedikit. Selain daripada rutin biasa hantar ambil anak sekolah, alhamdulillah gerai D'Kejora diberi peluang untuk beroperasi di bazaar Ramadhan Seksyen 3 Bandar Baru Bangi. Jadi sedikit sibuk juga lah menyediakan bahan-bahan mentah seperti sayur, ikan, kambing, nasi dan lain-lain. 

Berniaga di bazaar lain dengan berniaga gerai biasa di waktu malam tu. Ya lah kan, kepenatan berpuasa menguji kesabaran lah jugak hehe. Terutama sekali untuk para pekerja gerai. Namun begitu, syukur juga sebab mereka tetap berdedikasi dan bersemangat. Mudah-mudahan dapat la rezeki lebih sikit untuk beri pada mereka bonus raya. Ibu doakan sangat-sangat. 

Matlamat bulan Ramadhan ibu kali ni iaitu:

1.  Capai berat ideal sebelum raya
     In sya Allah, macam nak dapat je yang ni. Minggu lepas timbang (untuk program CMB), coach    cakap ada penurunan. Lebih dari 1 kg turun. Ibu cuma nak 3-4 kg je turun untuk dapatkan berat ideal. Tapi berat ideal yang dapat tu yang dihujung-hujung lah. Contoh: untuk tinggi 164, berat ideal adalah antara 65 - 67 kg (contoh je ni). Jadi, untuk ibu dapat 67 kg tu ibu hanya perlu turunkan 3 -4 kg sahaja lagi. Tapi kalau dapat capai yang 65 kg tu laaaagi bagus hehehe.

2.  Khatam Quran
     Yang ini macam tak sempat je. Tapi ibu akan buat sebanyak mungkin bacaan. Kalau tak dapat dalam bulan Ramadhan ni, target ibu untuk khatam juga Quran ni dalam tahun ni. In sya Allah.

3.  Kurangkan beli lauk luar, banyakkan masak kat rumah hehe
     Yang ni rasanya dah berjaya juga. Sebab setakat ni baru 3,4 kali je membeli. Itu pun sebab tak sempat masak, bukan sebab saja-saja tak nak masak hehe. 

Seronok jugak kan bila kita ada matlamat untuk dicapai. Elok juga kalau kita buat matlamat untuk setiap bulan kan? Selain dari azam tahun baru yang kita tak tahu entah ke mana dah tu (ibu la tu huhuhu), sekurang-kurangnya untuk sebulan ni boleh la juga kita pantau. Nanti untuk bulan Syawal kita letak matlamat pulak ye. 

Ok lah, dah nak kena bersiap-siap sediakan bahan-bahan untuk gerai. Assalamualaikum.

Monday, 6 June 2016

Bulan Puasa dah Tiba - yeay!

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, Ramadhan menjelma lagi. Dan kita masih sempat bersama-sama dengannya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita dapat tingkatkan lagi amalan dan keberkatan. Moga diperkenankanNya.

Ibu suka juga sebab hari pertama sahur ni semua anak-anak ada sahur sekali. Ye la, anak nombor 2 ibu kan tinggal di rumah sewa. Hari minggu je dia akan balik rumah ni. Ni untuk 6 bulan sahaja pun. Tinggal lagi 2 bulan je. Lepas tu lengkap balik la keluarga ibu.

Ada matlamat bulan puasa tak? Selalunya orang akan pasang matlamat:
  • nak khatam Quran
  • nak turunkan berat badan
  • nak lebihkan amal - buat yang sunat sekali
  • solat terawih tak tinggal
  • nak jumpa Lailatul Qadar (mudah-mudahan Allah makbulkan)
  • kurangkan ke bazaar Ramadhan 
  • dan macam-macam lagi
Untuk ibu, sebab ibu masih lagi berada dalam program CMB, masih perlu mengekalkan diet eat clean. Sebenarnya kan, kalau boleh ibu nak kekalkan diet eat clean ni sampai bila-bila. Satu sebab senang nak sediakan, lagi satu, menyehatkan badan. Mudah-mudahan boleh istiqamah sampai ke tua. 

Senaman tetap akan diadakan 3 kali seminggu, 2 kali selepas solat terawih Selasa dan Rabu malam, dan sekali pada hari Sabtu sebelum berbuka puasa. 

Pejam celik dah 3 minggu dah pun ibu bersama program CMB ni. Tinggal lagi 3 minggu aje. Ibu dapat rasakan matlamat ibu masuk program ni dah 50% tercapai. Tinggal lagi nak kutip bonus-bonus lain seperti turun berat dan turun inci, hehehehe. Sekurang-kurangnya kain ibu dah longgar dah sikit. Dan baju yang dulu ibu pakai nampak kecik dah jadi besar sedikit. Alhamdulillah.

Apa-apa pun, di sini ibu ingin mengucapkan selamat menyambut bulan penuh barakah, bulan Ramadhan. Maafkan segala salah silap ibu jika ada tulisan ibu membuatkan pembaca rasa tak senang (itu pun kalau ada orang bacalah kan hahaha - perasan sorang-sorang). Sama-samalah kita doakan agar kita semua mendapat keberkatan dan sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah hendaknya. Amiin.

Monday, 30 May 2016

Besarkan Gerai, Kecikkan Badan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Baru je beria nak buat jurnal untuk program ni, nak update hari-hari kat blog. Tapi tak dapat jugak. Tersibuk jugak akhirnya. Hehehe.

Nak dijadikan cerita, gerai D'Kejora yang ibu duk cerita sebelum ni dah ada sedikit perubahan, Kalau sebelum ni kami jual satay dengan grill kambing, meatball dengan patty. Dan kemudian tambah pula dengan Char Kuey Teow. Lepas tu, gerai kami ni tak ada meja kerusi sendiri. Menumpang meja kerusi gerai sebelah. Huhuhu.

Alhamdulillah, selepas perbincangan dibuat dan dengan sedikit modal yang diperolehi, gerai tu dapat juga dibesarkan sedikit. Beli kerusi meja sendiri, tambah khemah untuk air, tambah dapur lagi satu. Ada sedikit perubahan dari segi menu. Satay kami hentikan jualannya. Kami tambah dengan menu baru iaitu nasi goreng kambing dan mee goreng udang galah. Bila dah ada menu nasi dan mee, boleh dipelbagaikan la juga mengikut citarasa pelanggan.

Alhamdulillah sekali lagi, dengan menu baru kami tu, pelanggan makin bertambah. Tambahan pula dah ada kerusi meja sendiri ni, pelanggan pun ada banyak tempat boleh duduk. Ditambah lagi dengan kehadiran food truck yang semakin hari juga semakin bertambah. Tiba-tiba ada food truck baru. Memang meriah kawasan perniagaan kami tu di malam hari, macam bulan puasa pula rasanya. Seronok.

Ibu juga menjadi semakin sibuk la jugak. Sebab? Nak kena masak nasi. Sehari 5 periuk nasi kena stand by. Ada masa habis semua, ada masa nasi bersisa. Itu biasa lah. Tapi standby tetap kena. 

Atas sebab itu jugalah, ibu semakin perlukan STAMINA. Dan ibu memang dapat rasakan yang program CMB yang ibu masuk ni banyak membantu dari segi memberikan kelebihan stamina pada ibu. Ada juga rakan-rakan ibu yang pelik kenapa ibu nak masuk program kuruskan badan ni walaupun ibu tidak lah segemuk mana (iyo lah tu). Apa yang ibu boleh cakap, untuk sihat, bukan perlu tengok dari segi penurunan berat sahaja, tapi banyak benda lain. Penurunan inci (inchloss), peningkatan stamina itu bagi ibu lebih penting. Dan itu lah juga yang lebih ibu titikberatkan. Tak turun berat, tak apa. Janji ibu lebih bertenaga, tak semput dan seluar ibu juga dah makin longgar hehe.

Dan ibu juga baru sedar tentang pemakanan sihat macamana. Kurang minyak, kurang gula, kurang garam. Banyakkan sayur dan buah. Memang ibu masak sekarang guna minyak kalau perlu sahaja dan itu pun sesudu sahaja minyak untuk menumis. Lauk-lauk biasa kukus atau panggang. Garam pun kadang-kadang tak letak. Dah mengeras dah garam dalam bekas dia huhu. Mudah-mudahan ibu dapat istiqamah dalam bab pemakanan sihat ni dah boleh lah anak-anak ibu juga makan secara sihat. In sya Allah.

OK, nanti kita cerita lagi ya. 

Wednesday, 18 May 2016

Program Kuruskan Badan - Hari Kedua

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hari ni masih mengikuti pelan pemakanan yang dicadangkan kepada coach. Sebelah malam pula ada sesi senaman. Pengenalan kepada senaman katanya.

Oh ya, terlupa pula ibu beritahu. Untuk program ni kami disarankan untuk minum air dengan banyak. Seelok-eloknya 4 liter sehari. Nak lagi senang, minum 2 liter belah pagi sampai tengahari dan lagi 2 liter atau lebih lepas pukul 1.00 petang tu.

Ibu beli botol air 2L untuk mudahkan kiraan hehe. Botol macam kat bawah ni.


Balik semula untuk senaman ni. Kami di warm up kan dengan main game. Macam Super Spontan punya game. 2 kumpulan. Sorang dari setiap kumpulan akan berlawan main soal menyoal. Tak boleh tak soal. Soalan semata-mata. Haha. Siapa kalah, satu kumpulan kena lari. Kalah kali kedua, kena lari 2 pusingan. Hohoho. Memang warm up betullah. Setiap kumpulan sampai kena lari 5 pusingan. Masing-masing kalah menang berganti-ganti. Berlari pulak sambil ketawa, apa lagi, berpeluh-peluh belum apa-apa pun haha.

Lepas tu baru la buat crunches untuk perut (ada 5 teknik untuk ini), buat stretching (ada 3 teknik) dan akhir sekali buat plank. Yang plank ni memang dari dulu ibu cuba nak buat tapi asyik tak dapat tahan. Boleh tahan sampai kiraan 1 aje. Lepas tu terus jatuh huhuhu. Tapi seronok betul malam tadi, dapat pulak ibu bertahan sampai kiraan 30 (maknanya 30 saat la tu). Rasa nak melompat sebab boleh buat, tanpa jatuh, walau pun menggigil gigil haha.

Lepas tu kami warm down dan ikut sesi shopping pulak. Shopping apa? Shopping barang makanan. Belajar cara tengok label. Untuk pastikan kita tahu sama ada nak beli ke tidak. Kalau terpaksa beli, sekurang-kurangnya kita tahu berapa banyak yang kita patut makan untuk mendapatkan kalori yang secukupnya. Oh ya, satu lagi yang lupa diberitahu, untuk pengambilan kalori setiap hari yang sihat, seorang wanita patut ambil antara 1200 - 1500 kalori sehari. Kalau lebih dari itu, senang naik berat. Kalau kurang dari itu, tak cukup zat huhu. Untuk yang lelaki ibu terlupala pula. Tapi boleh je nak google kan?

Mungkin orang yang prihatin dengan kesihatan dah tahu pun pasal semua ni. Tentang maklumat kalori pada label, isi kandungan yang ada dalam makanan tersebut dan juga pecahan-pecahan maklumat nutrisi yang diberi. Apa yang penting perlu lihat adalah jumlah kalori per serving, lepas tu untuk satu serving tu berapa yang perlu diambil. Contoh, kalau roti gardenia biasa dia akan tulis satu serving bersamaan 2 keping roti. Lepas tu tengok kandungan gula, garam dan lemak. Kalau boleh cuba cari yang rendah jumlah semua tu. Tapi kalau tak dapat jugak, kita beli dan makan aje, tapi jangan ambil dengan banyak.

Yang penting, jangan stress kan diri untuk lihat kalori bagai ni. Nak makan apa pun boleh tapi jangan berlebihan sahaja. Contoh: nak makan kek, boleh tapi ambillah sesudu sahaja. Untuk rasa. Bukan untuk kenyang hehehe. Sebab? Nak sihat dan nak turun berat. Itu aje.

OK, malam Rabu ada sesi senaman lagi. Coach cakap kali ni berat sikit dari hai. Biasalah, nak dapatkan momentum senaman masing-masing. Macam ibu ni lah yang dah lama sangat tak bersenam ni. Tak boleh mula terus berat. Pengsan karang. Betul tak?

OK, nanti esok tulis lagi. Jurnal program la katakan heehe.

Assalamualaikum.


Program Kuruskan Badan - Hari Pertama

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Memang teruja rasanya hendak memulakan perjalanan menurunkan berat badan ni. Dah janji nak bercerita pasal jadual pemakanan kan? Jom!

Dalam program ni, kami ditekankan untuk tumpukan 70% pada pemakanan dan 30% pada senaman. Jadi fokus utama adalah lebih kepada pemakanan. Sebab tu senaman hanya diadakan 3 kali seminggu sahaja iaitu pada setiap malam Selasa, malam Rabu dan pagi Sabtu. 

Untuk pemakanan, kami diminta untuk membuat jadual pemakanan untuk seminggu pertama ini. Kemudian update pula apa yang kami betul-betul makan setiap hari. 

Untuk mendapatkan penurunan berat badan yang diimpikan, amat penting untuk kita fokus pada jumlah kalori yang diambil. Untuk seorang individu yang tak pernah nak fikir pasal kalori ke, gula ke, kolesterol ke macam ibu ni, bila dia bercerita pasal pengambilan kalori memang ngangalah. Memang ada kawan yang pernah bercerita pasal kalori ni tapi ibu memang tidak dapat faham sangat pasal ni. Huhuhu.

Apapun, bila buat pengiraan kalori harian yang perlu diambil semalam, dapatla jugak ibu "nampak" apa yang kawan ibu pernah cerita suatu ketika dahulu tu. 

Untuk jadual pemakanan harian, ada 6 waktu makan yang perlu kami perhatikan iaitu:
1.  sarapan - awal pagi. Antara 7.00 - 8.30 pagi. Katanya mesti ambil sarapan walaupun hanya minum susu ke atau teh hijau ke. Walaupun nak sambung tidur balik lepas solat Subuh (tak elok ni kan?), tapi sebelum tidur tu kunyahlah sesuatu dulu. Sangat penting.

2.  Snack pagi - antara pukul 10.00 -11.00 pagi. Snack yang sihat. Paling bagus buah lah. Tapi jangan ambil banyak. Sebiji atau dua biji dah cukup. Contoh: 2 biji epal

3. Makan tengahari - kalau nak ambil nasi, ambillah segenggam. Kalau beras perang lagi bagus. Dulu ibu pernah bercerita pasal diet mickey mouse. Portion makanan kita macam muka mickey mouse. Tang muka tu, sayur-sayuran, telinga sebelah tu nasi dan telinga sebelah lagi lauk-pauk. Kalau nak cacatkan telinga nasi pun ok jugak hehe. Besarkan sikit telinga lauk, kecikkan telinga nasi.

4.  Snack petang - sama macam snack pagi

5.  Makan malam - seeloknya kalau kita dah tak buat apa-apa kerja berat, boleh lah kurangkan karbohidrat masa ni iaitu tak payah makan nasi. Tapi kalau nak makan juga, macam tadilah portionnnya.

6. Snack malam - yang ni sebenarnya optional. Tak ambil pun tak apa. Tapi kalau lapar jugak, ambillah buah ke atau roti sekeping ke. Macam juga snack pagi dan petang.

Untuk hari pertama semalam, ibu dah ikut dah. 
Roti 2 keping
Epal 2 hiris
Nasi segenggam, ayam kari panggang, sayur campur
Biskut wheat cracker 3 keping
Nasi segenggam, ayam sup, sayur campur
Tak ada snack malam

Masakan pula, kalau boleh kurangkan minyak, gula dan garam. Eloknya makan yang grill, kukus dan panggang sahaja. Jadi, lepas ni pemanggang ajaib akan jadi teman setia ibu lah haha.

OK lah, cukup dulu untuk jadual pemakanan. 

Esok, ibu cerita pasal senaman dan pasal shopping pulak ya.

Assalamualaikum dan selamat malam. 

Monday, 16 May 2016

Program Untuk Kuruskan Badan - Hari Pengenalan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan peribadi

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Lamanya tidak menulis disini. Sibuk dengan urusan dunia huhuhu. Ni pun nak bercerita hal dunia la jugak.

Hari ni merupakan hari pertama bagi program "Conquer the Mental Battle" kelolaan Aizat Razak, ikon JK1M (Jom Kurus 1 Malaysia) yang kelima. Ada orang belanja ibu masuk program ni, alhamdulillah.

Hari Ahad lepas diadakan taklimat pengenalan kepada program. Sebelum taklimat dimulakan, kami dah pun dibawa untuk buat senaman "warm up". Senaman ringkas aje. Macam pengenalan kepada exercise lah. Tapikan sebenarnya amalan ni sangat elok dilakukan. Sebab bila kita dah warm up, sepanjang taklimat tu kita tak mengantuk. Ada lagi kebaikannya, tapi yang tu ibu cerita kemudianlah.

Ibu sangat suka dengan tagline program ni iaitu "Change your mind, change your body". Memang selari sangat dengan apa yang ibu tengah pelajari dan praktikkan sekarang ni iaitu berkenaan minda bawah sedar. Yang ni pun nanti lah ibu ceritakan.

Semasa taklimat dijalankan, kami diminta untuk menulis matlamat utama kenapa kami ikut program ni. Sudah tentulah matlamat yang satu adalah untuk turunkan berat badan atau untuk kurus. Tetapi kalau diusul lebih lagi, tujuan utama untuk kurus tu adalah untuk apa, barulah dapat matlamat yang paling utama. Bagi ibu, matlamat ibu adalah untuk TINGKATKAN STAMINA. Sebab? Sekarang ni naik tangga satu tingkat pun dah mengah. Nak mengurus rumahtangga pun cepat penat. Itu lah sebab utama kenapa ibu nak ikut program ni.

Kami diajar mengira jumlah kalori harian (DCR) yang kami perlukan dan kadar metabolisme (BMR) badan. Ada formula untuk tahu semua ni. Boleh google :) Dan kami juga diberi formula untuk kira berapa kg yang boleh kami turunkan untuk jangkamasa 6 minggu ni nanti berdasarkan BMR dan DCR yang diperolehi tadi. Kalau rasa tak puas hati dengan kiraan tu, bolehlah kita buat sesuatu nanti untuk ubah mengikut kehendak kita. Contoh: Ibu punya kiraan dalam masa 6 minggu ibu hanya boleh turun sebanyak 1.5 kg sahaja. Tapi target ibu adalah untuk turunkan sekurang-kurangnya 3 kg. Jadi apa yang ibu boleh buat adalah tingkatkan BMR atau kurangkan DCR. Ikut pandailah :)

Kami juga diminta untuk buat perancangan pemakanan untuk 1 minggu pertama. Yang bestnya, dalam program ni kami diminta makan 6 kali sehari. Makanan yang dimakan akan dicatit setiap hari untuk coach buat pemantauan. Jika tidak sesuai, nanti kami akan diminta tukar. Yang penting sekarang ni adalah bagaimana makanan itu disediakan dan jenis makanan yang diambil berserta jumlah atau portion yang diambil. 

Biasa dengar kan makan segenggam nasi? Itu lah yang disarankan untuk kami bila nak makan nasi. Ambil segenggam sahaja. Selebihnya lauk dan sayur-sayuran. 

Ok lah, cukup lah dulu untuk pengenalan. Pakar pemakanan ada menyarankan kami membuat jurnal perjalanan kami sepanjang 6 minggu ni. Jadi, in sya Allah, blog inilah yang akan jadi jurnal ibu. 
Esok ibu sambung dengan jadual pemakanan pulak ya. 

Assalamualaikum.



Thursday, 7 April 2016

Anak dan Adat Orang Minang

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahim.

Lamanya tidak menjenguk di sini. Memang masa sekarang sangat pantas berlalu. Sekejap sahaja hari sudah bertukar hari yang lain.

Suatu hari itu, Ibu berborak dengan seorang pekerja gerai nasi kukus. Katanya dia orang Minang, duduk di Indonesia. Tetapi datang ke Malaysia mencari rezeki.

Beliau bertanya pada Ibu "Kak, anak akak berapa orang ya?"

Ibu jawab "8 orang"

Beliau tanya lagi "Berapa lelaki berapa perempuan kak?"

Ibu jawab "Perempuan 3 lelaki 5"

Beliau lantas cakap "Waah! Untung kak ramai lelaki. Bila dah tua nanti senang lah"

Ibu pelik. "Kenapa pulak ya?" Ibu tanya beliau

Beliau cakap "Iya lah. Bila masing-masing dah kerja nanti boleh la akak rehat. Mereka lah yang bantu akak nanti."

Hehe. Ibu cakap pada beliau "Mudah-mudahan. Kalau betul begitu alhamdulillah"

Beliau pun bagitahu "Kalau orang Minang, mereka suka dapat anak lelaki. Sebab anak lelaki akan kena jaga ibu mereka tak kira lah macamana pun. Kalau kerja, bagi duit dekat ibu. Kalau dah kahwin pun, duduk sama ibu lagi. Tolong ibu. Sampai ibu meninggal."

Begitu lah ceritanya. Ibu tidak tau lah sama ada memang begitu adat orang Minang atau tidak. Untuk Ibu sendiri, Ibu tidak meletakkan apa-apa harapan kepada anak-anak ibu. Jika anak-anak Ibu mahu jaga Ibu nanti, alhamdulillah Ibu bersyukur.

Tetapi Ibu faham, bila dah berkeluarga, masing-masing akan ada tanggungjawab masing-masing. Jika tidak dapat jaga Ibu tidak mengapa. Cukup bertanya khabar, itu memadai.

Sebab itu sekarang pun Ibu perlu menjaga diri Ibu sendiri supaya bila sudah tua nanti tidak akan menyusahkan anak-anak, dengan penyakit ke, dengan kewangan ke dan macam-macam masalah lagi yang selalu kita baca di akhbar mahupun dengar di TV dan radio.

Apa yang penting, anak-anak Ibu membesar dengan berpegang kukuh kepada agama dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan keluarga. Dan bila Ibu sudah tiada nanti, anak-anak Ibu dapat menghadiahkan ibu bacaan al-Quran, sentiasa mendoakan Ibu dan tidak lupa akan Ibu. Bukan pada Ibu sahaja, pada Ayah sekali lah ni.

Mudah-mudahan impian Ibu akan menjadi kenyataan. Amiin.

Monday, 21 March 2016

Penstrukturan Semula




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Dalam bilik air. Air turun bak air hujan. Nyaman. Segar. Tenang.

Muncul satu fikiran...blog aku itu harus distruktur semula. Temanya adalah Perkongsian Pembangunan Kendiri. 

Dalam bahasa Inggerisnya "self-improvement".

Maka, fokus lah kepada tema itu. 

Dan mulai saat ini, penulisan adalah lebih kepada pesanan yang ingin saya tinggalkan kepada anak-anak. 

Ya, nak. Ibu tiada punyai harta berjuta. Apa yang dapat ibu tinggalkan untuk kamu semua hanyalah kata-kata.

Harapan ibu adalah kamu semua dapat memanfaatkan. Jika perlu, analisa. Jika bagus, ikut. Jika tidak, perbaiki. 

Mudah-mudahan ia juga dapat dimanfaatkan oleh sahabat-sahabat kamu semua. In sya Allah.




Image result for self improvement wallpaper

Thursday, 17 March 2016

Sistem itu Perlu

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Ada lagi perubahan yang berlaku pada bisnes D'Kejora Satay ni. Sebelum ni gerai kami ni menjalankan bisnes berkembar dengan satu kedai lagi iaitu Ar Raudhah Tomyam. Kami berkongsi pelanggan lah kiranya. 

Dijadikan cerita, para pekerja Ar Raudhah Tomyam tiba-tiba bercuti serentak untuk beberapa minggu. Mungkin 3 minggu. Balik kampung. Ada majlis perkahwinan. Kampung jauh nun di belah Kelantan dan Thailand. Sebab tu cuti lama. Jadi, sekarang ni pelanggan tertumpu kepada gerai kami lah (selain dari food truck yang ada). 

Menangani permintaan pelanggan yang kadang-kadang tiba ramai sekaligus, agak memeningkan. Terutama sekali untuk memastikan kami tidak salah menyediakan pesanan pelanggan. :) 

Sebelum ni memandangkan pelanggan tak adalah ramai mana, jadi semua boleh simpan dalam kepala je. Tapi sekarang ni memang tak boleh. Tambahan pula nak pastikan meja mana yang mereka duduk. Maka, pihak pengurusan D'Kejora Satay telah bermesyuarat dan bersetuju untuk mengadakan sistem pesanan seperti lazim yang ada di restoren-restoren. Iaitu kad nombor pesanan dan slip pesanan pelanggan. 

Baru hari ni nak dilaksanakan secara menyeluruh. Nanti kita tengok macamana hasilnya ya? Hehehe...

Wednesday, 16 March 2016

Jangan Sekat Rezeki Orang

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, sedikit update tentang gerai D'Kejora Satay dan Kambing Grill. Kami telah pun berpeluang untuk mendapatkan 3 orang pembantu bagi memudahkan perjalanan perniagaan gerai kami. 2 orang untuk gerai Satay dan seorang lagi untuk gerai Char Kuey Teow. Jadi, tugas saya sekarang hanya untuk menghantar barang-barang ke gerai sahaja. Dah tak perlu bantu sepanjang waktu gerai dibuka lagi dah.

Entri sebelum ni ada saya tulis pasal tempias rezeki yang kami dapat hasil dari kedatangan food truck semua tu kan. Dalam pada kita duk fikir rezeki itu elok berkongsi, ada satu kejadian yang berlaku minggu lepas yang buat saya terkedu sekejap. Begini ceritanya...

Waktu tu dah dekat pukul 6.00 petang. Saya tengah lepak dekat gerai nasi kukus bersebelahan dengan gerai D'Kejora Satay. Tiba-tiba datang la satu food truck yang tertulis nama satu restoren yang agak ternama ni Bandar Baru Bangi ni. Saya tahu di Bandar Baru Bangi sahaja dia sudah ada 2 cawangan restoren. Dalam hati saya berkata "Waah, memang sungguh tekun mereka ni. Dah ada 2 restoren ditambah pula dengan food truck. Tabik"

2,3 orang pekerja food truck tu pun mengeluarkan segala yang patut, kuali, banner semua dan bahan-bahan yang diperlukan untuk berniaga. Tiba-tiba saya lihat ada 2,3 orang dari food truck yang lain datang dan berborak-borak dengan pekerja food truck yang baru datang ni. Dari jauh saya lihat mereka berbincang. Lepas tu yang datang tadi tu balik semula ke food truck mereka.

Apa yang berlaku lepas tu memang mengejutkan saya. Apa taknya, tiba-tiba pekerja food truck yang baru sampai tu mengemaskan barang-barang mereka, tutup pintu, tingkap food truck mereka, start enjin dan terus pergi, Saya ternganga. Pekedai yang sorang lagi lepak dengan saya pun ternganga. Tertanya-tanya, kenapa? 

Kebetulan tuan punya gerai nasi kukus tu datang dan melihat kejadian tersebut. Dia pun beritahu kami yang ternganga ni " Memang dia tak bagi berniaga kat sini lah tu. Dia kata tu kawasan untuk food truck yang lain. Hari tu ada juga orang nak buka gerai nasi lemak kat kawasan tu, tanya depa. Depa tak kasi sebab depa kata kalau boleh kat situ untuk food truck aje, gerai tak boleh."

Ooooo...gitu ceritanya. Saya tak tau lah sejauh mana benar apa yang dicakapkan tu, tapi tengok pada kejadian tu macam benar kan? Tapi saya tak nak lah menghukum. Apa yang terjadi saya ambil sebagai satu pengajaran. Jika benar bagai apa yang dikata, agak tak patut jugak la dibuat begitu. Sebab orang tu dah sampai dan dah buat persiapan pun. Apa salahnya biarkan aje untuk hari tu, esok hari cakap la dah tak boleh. Ye lah, orang pun nak cari rezeki kan? Kalau kita sekat rezeki orang, tak mustahil rezeki kita juga tersekat kan? Wallahuallam.


Monday, 29 February 2016

Berlimpah Ruah

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Memang tiada kesempatan langsung untuk mencatit. Apatah lagi untuk membaca tulisan para sahabat. Malahan facebook pun tidak sempat dibuka.

Ini semua berlaku semenjak tapak gerai D'Kejora Satay & Kambing Grill menjadi viral di facebook gara-gara lambakan trak makanan (food truck) yang datang berniaga di situ. Saya agak terkejut juga bila tiba-tiba melihat ada lebih kurang 8 food truck yang membuka perniagaan di situ. Yang seronoknya, suasana di situ menjadi sangat meriah. Seolah-olah seperti medan selera. Di tambah pula ada seorang penyanyi "busker" yang mendendangkan lagu-lagu evergreen Melayu dan Bahasa Inggeris, makin memeriahkan lagi suasana. Memang tak cukup tangan. Sehingga saya sendiri terpaksa turun dan membantu.

Memang betul juga kata orang, rezeki masing-masing tetap ada walau apa jua keadaannya. Ada juga yang bersuara risau sekiranya kedatangan food truck tersebut akan menyebabkan pelanggan beralih arah. Tetapi tidak, malahan pelanggan semakin ramai. Selagi kita berlapang dada dan tiada rasa takut, saling bantu membantu juga, in sya Allah tidak akan ada masalah tentang rezeki tu. 

Apa yang saya perhatikan dan pelajari dari kejadian ini adalah:

1)  Berjemaah itu lebih baik
2)  Rezeki itu hak Allah, Dia boleh berikan pada sesiapa sahaja yang Dia inginkan. 
3) Sentiasa berfikiran ke arah kelimpahan, kemewahan (abundance) dan jangan fikirkan tentang kesempitan atau kekurangan. 
4)  Berlapang dada sentiasa dan jaga bahagian kita. Jangan kacau bahagian orang.

Alhamdulillah :)



Tuesday, 9 February 2016

Aku tak yakin lah...

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillah.

Tempohari saya telah disapa oleh sahabat melalui whatsapp. Bertanyakan tentang masalah keyakinan diri. Tentang bagaimana mudah untuk memberi keyakinan kepada orang lain tetapi diri sendiri masih alami masalah.

Sebenarnya, masalah keyakinan diri ni pun agak subjektif. Sebab mungkin kita rasa macam tak yakin tapi orang nampak kita yakin habis. Dan tak boleh juga nak terlebih-lebih yakin takut nanti jadi "over confident". Lain pula jadinya nanti. 

Dan kalau nak bercerita tentang kaedah untuk tinggikan keyakinan diri pun, panjang ceritanya. In sya Allah, jika ada kesempatan akan saya tuliskan sedikit demi sedikit. 

Yang perlu kita tahu adalah kenapa kita rasa tidak yakin pada diri sendiri? Apa yang menyebabkan kita rasa seperti itu? Cari puncanya dulu barulah kita dapat selesaikan isunya. 

Punca boleh jadi banyak. Kita bercerita pasal tu nanti. Bye.

Friday, 5 February 2016

Potensi diri? Dah tahu ke?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Alhamdulillah. Subhanallah.

Sungguh seronok sepanjang minggu ini. Penuh dengan aktiviti sekali lagi. Seperti selalu juga. Aktiviti tidak pernah habis.  Tetapi kali ini agak mengujakan kerana aktiviti penuh dengan timbaan ilmu. Pelbagai ilmu ditimba. Hingga senak juga minda dibuatnya :)

Antara ilmu yang saya timba minggu ini adalah ilmu metafizik. Mengenali potensi diri melalui tarikh lahir. Ya, saya tahu. Ramai yang sudah tahu mengenai ilmu ni. Dan ramai juga yang telah alaminya. Ada juga yang skeptikal. Tidak kurang juga yang terlalu taksub. 

Bagi saya, setiap ilmu di muka bumi ini adalah milik Allah. Ada sebab kenapa kita perolehi ilmu-ilmu yang kita dapat. Tidak sia-sia mengetahuinya. Walau mungkin ada yang merasa tidak senang dengan ilmu metafizik tarikh lahir ini kerana risau dikatakan menjadi peramal atau tukang tilik, saya berpendapat tidak salah untuk kita ketahui kelemahan dan kelebihan yang kita ada. Cuma jangan terlalu bergantung kepada apa yang dikatakan. 

Contoh: Apabila dibuat kiraan pada tarikh lahir saya, didapati saya lebih cenderung kepada kerja-kerja di luar pejabat. Tidak boleh berlama-lamaan di pejabat kerana tidak sesuai dengan elemen saya. Namun begitu, bagi saya sendiri, tidak menjadi hal untuk saya berlama-lama di pejabat. Saya tidak kisah. Sebab itu walaupun dalam elemen saya mengatakan sebaliknya, saya tidak perlu mengikut apa yang dinyatakan. Saya tetap boleh je duduk di ofis lama-lama jika saya nak. 

Sebagai seorang ibu yang telah melahirkan 8 orang anak, saya percaya hari kita dilahirkan itu pasti ada pengajaran disebaliknya. Ini merujuk kepada tarikh lahir ini lah. Ini adalah kerana, walaupun doktor telah nyatakan yang kita akan melahirkan pada sekian sekian haribulan, tetapi apabila tiba waktunya ada masanya tarikh itu akan berubah, sama ada lebih cepat atau pun lebih lambat. 

Semua anak-anak saya lahir tidak pada tarikh yang diberikan doktor. Malahan anak yang nombor 3 lambat hampir 3 minggu. Ramai yang menasihatkan saya untuk ke hospital waktu tu memandangkan waktu "due" itu dah lepas, tetapi ayah saya cakap pada saya "Tak perlu. Dia tahu bila dia perlu keluar. Tak payah paksa.". Penyerahan kepada Allah. Allah lebih tahu. Selagi tidak turun tanda apa-apa, ketuban belum pecah, saya memang tunggu sakit bersalin baru lah saya ke hospital. Doktor nak marah pun marah lah hehehe.

Atas sebab itu juga saya percaya tarikh kelahiran kita itu ada kaitannya dengan potensi diri kita, yang telah dikurniakan oleh Allah. Jika kita menggali, kita lebih mengenali diri. Semakin kita kenali diri, semakin itu juga kita akan dapat lihat betapa hebatnya kuasa Allah. 

Betullah kata Master Rey (guru hipnosis saya), "rasa" itu penting. Bila dah merasai, barulah kita ketahui. 

Wallahuallam. 

Sunday, 24 January 2016

Impian Pasti Jadi Kenyataan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillah.

Alhamdulillah.

Setelah sekian lama tidak menulis di sini, barulah sekarang berpeluang untuk duduk sebentar dan mengarang. 

Merasa sangat teruja ni. Sebab sekarang dah masuk minggu terakhir di bulan pertama tahun baru. Dan apa yang dituliskan sebagai impian atau azam tahun baru sudah 50% dilaksanakan. Dan sedikit demi sedikit azam yang lain mula mengintai.

Perjalanan bisnes D'Kejora Frozen juga semakin mengujakan. Kini ditambah satu lagi gerai yang dinamakan D'Kejora Char Kuey Teow. Juga dibuka di Bandar Baru Bangi iaitu di Bangi Perdana. Tukang masak diimport khas dari Kelantan. Memang sedap (kena puji sendiri jugak hehe)

Saya juga mendapat jemputan dari rakan yang tau saya pernah mengadakan sesi latihan. Mereka berminat untuk ketengahkan modul yang saya bina hasil dari pengalaman dan pembelajaran saya. Mudah-mudahan modul-modul tersebut dapat memenangi hati orang-orang yang sepatutnya. 

Saya juga telah dijemput untuk bersama-sama mengusahakan siri buku yang memberi penerangan kepada orang Islam berkenaan pembahagian harta secara betul. Ini kerana saya pernah membuat sistem berkenaan sistem hibah dan faraid sewaktu di universiti dahulu. Dan sahabat yang menjemput saya ini pula berpengalaman luas di dalam bidang ini. Malah beliau telah mempunyai sijil yang berkenaan untuk berhujah mengenai perkara ini. Doakan kami.

Akhir sekali, sahabat saya juga telah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menerajui perniagaan "wholesale" yang akan memberikan sajian pelbagai produk seperti beg tangan, kasut, minyak wangi dan lain-lain lagi. Impian besar kami adalah untuk menjadi setanding LAZADA suatu hari nanti. Dengan itu, saya ingin menjemput pembaca blog ini (jika ada) untuk ke halaman facebook bisnes ini di https://www.facebook.com/saleglitzmarketing/   dan jika sudi, hadiahkan kami satu "like".

Sekian terima kasih.

Tuesday, 5 January 2016

Tahun baru dan Azam

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sudah 5 hari dalam tahun baru 2016. Dan sudah 2 hari rutin lama kembali iaitu menghantar mengambil anak sekolah.

Syukur alhamdulillah, semalam hari pertama sekolah semua berjalan lancar. Walaupun banyak perkara yang tak settle tahun lepas, tapi semuanya diselesaikan semalam. Tahun ni 5 orang anak bersekolah. 3 sesi pagi, 2 sesi petang. 

Anak yang sulung pula akan mulakan latihan praktikal beliau. Jadi tak payah masuk asrama lah. Anak nombor 2 pun dah nak habiskan modul beliau juga. Tinggal 3 modul je lagi, kemudian praktikal juga. Tinggallah anak bongsu sorang-sorang tak ada kawan. Mak dia ni lah yang terpaksa jadi peneman hehe.

Tahun baru ni biasalah, semangat dia lain macam sikit. Semangat tanam azam/impian. Harapnya dapatlah dibuat dan sentiasa konsisten sampai akhir tahun. In sya Allah. 

Ada dapat tips hari tu mengenai azam/impian. Kisahnya, dalam kita menulis impian, kalau ada melibatkan wang ringgit, kalau boleh tak payah tulis nilai ringgitnya. Contohnya, impian 1: ingin dapat RM10,000 keuntungan perniagaan setiap bulan. Seeloknya tak perlu tulis yang RM10,000 tu tapi tulis apa yang kita nak buat untuk dapatkan 10,000 tu. Contohnya: buat jualan produk xxxx sebanyak 200 botol setiap bulan. Bila hitung-hitung pasti akan dapat untung 10,000. Maka menulis itu sebagai azam atau impian adalah lebih baik. Kerana kalau kita memang buat tindakan, wang itu pasti akan datang. In sya Allah.