Sunday, 12 November 2017

Tempat Baru, Semua Baru

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: lukisan sendiri


Lamanya tak pegang komputer. Banyak perkara yang berlaku sepanjang bulan september dan oktober. Sekarang dah masuk bulan November. Mudah-mudahan semakin reda lah.

Sekarang aku (tukar kata nama lah pulak) dah berada di rumah baru. Dah lebih seminggu pindah masuk dari 1.11.2017 hari tu. Alhamdulillah, dipermudahkan Allah jumpa rumah baru yang banyak memberi kemudahan pada aku juga. Mudah untuk hantar anak sekolah, mudah untuk urusan masak-memasak dan mudah juga untuk urusan kesihatan (tempat nak exercise banyak dan sangat dekat). 

Rumah lama - dah dijual. Harapan aku adalah urusan untuk dapatkan balik duit hasil jualan tu akan dipermudahkan juga dan dipercepatkan. 

Sekarang, untuk tahun baru 2018, boleh lah cipta impian baru. Dengan segalanya serba baru. Berhijrah betul-betul gitu. Mudah-mudahan juga mendapat keberkatan.

Oh ya, in sya Allah sedikit masa lagi buku sahabat saya (tukar sekali lagi) di mana illustrasi lukisan saya dipermuatkan akan diterbitkan tak lama lagi. Dan saya pun dah dapat sedikit bayaran hasil ilustrasi tersebut, terima kasih sahabat :). Kalau boleh jadi satu kerjaya untuk saya elok jugak tu. Mohon diperkenankan, amiin.


Wednesday, 11 October 2017

Anak Derhaka?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: hak milik sendiri

Hari tu terlihat video tular yang menunjukkan seorang remaja memukul ibunya kerana duit. Seperti biasa, saya tidak suka memberi apa-apa komen kerana tidak tahu cerita sebenar. Cuma rasa terkesan sebab sebagai seorang anak, tidak sepatutnya melakukan ibunya sedemikian. Walau seteruk mana pun ibu itu. 

Maka, tercetus lah ilustrasi ini:

Satu doa untuk remaja tersebut dan juga ibunya. Kerana saya juga ada anak. Ramai. Lapan orang. Saya pun tidak tahu sejauh mana ajaran saya berkesan kepada anak-anak saya. Ilustrasi ini pun lebih kepada harapan agar anak-anak saya faham tentang betapa kita sebagai seorang Islam perlu mentaati ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara yang dilarang oleh Allah.

Ilustrasi ini ada saya muatnaik di laman facebook. 

Alhamdulillah, keesokan harinya saya terbaca dalam harian metro bahawa remaja ini telah pun memohon ampun dengan ibunya. Syukur.

Dan saya juga membaca kisah bahawa remaja ini sebenarnya seorang budak yang baik. 

Namun begitu, baik bagaimanapun kita, jika sekali kita menyakiti hati ibu kita, semua kebaikan itu boleh terhapus. Seperti kisah Alqamah di zaman Nabi SAW. Wallahuallam.

Tuesday, 26 September 2017

Kau pilih, aku pilih

Teks:Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Baru lepas belajar cara-cara untuk "shading" agar nampak lebih kemas. Guna putik kapas aje. Senang juga bila dah cuba buat tu. 

Kalau dulu selalu guna jari je. Habis hitam jari. Lepas tu guna kertas atau tisu. OK jugak. Tapi tak kemas sangat. 

Bila tengok tutorial di internet, ramai yang guna alat "blender" nama dia. Rupa macam pensel, jadi senang la nak kemaskan "shading" tu. Dah cuba cari juga alat ni kat kedai buku dan alatulis kat kawasan Bangi ni tapi tak jumpa. Jadi alternatif yang dia beri, guna putik kapas. Menjadik la jugak.

Masih banyak yang perlu dipelajari. Banyak rupanya teknik yang boleh digunakan. Elok juga kalau tahu banyak, lepas tu sendiri buat pilihan la nak fokus pada teknik yang mana.

Kehidupan pun begitu juga. Banyak pilihan untuk kita. Bak kata orang putih "Apa yang kita dapat sekarang adalah merupakan himpunan pilihan yang kita buat di masa lalu". Puas hati kah dengan apa yang kita ada sekarang? Kalau sudah puas hati, cuma perlu kekalkan atau cuba dapat yang lebih baik. Kalau tak puas hati? Sendiri mau ingat la, kan? Hehehehe.

Tuesday, 19 September 2017

Kesilapan - Apa Perlu Kita Buat?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Macam ada yang tak kena je dengan lukisan kat sebelah ni kan? Macam tak seimbang kat mana-mana. Hehehe.

Masa lukis gambar ni, bila buat "outline" dia nampak OK dan seimbangnya. Tapi bila dimasukkan "shading" baru nampak ke laut sikit. 

Tapi lepas siap semua baru nampak. Masa dalam proses tu tak nampak pun. 

Begitu lah kehidupan kita pun. Tak sempurna. Mesti ada silap. Walaupun tak nampak silapnya pada permulaan tapi bila akhirnya nampak silap, apa perlu kita buat?

Kalau boleh baiki, elok lah dibaiki. Kalau tak boleh baiki, belajarlah supaya lain kali tak buat lagi. 

Macam kes yang tengah viral sekarang ni lah. Kes pembakaran sekolah tahfiz tu. Sesak juga dada membacanya. Tapi lagi sesak dada membaca komentar dan telahan para netizens. Yang salah tu memang dah tentu salah. Tapi yang tukang bagi komen tu, betul ke? 

Semua kata generasi muda kita dah parah. Tapi bila baca komen-komen dan teori-teori generasi yang tak berapa nak muda pun nampak parah juga. Sesuka hati membuat hukuman. Mudah betul melatah masing-masing. Nak nasihat? Buat lah cara nasihat. Bukan secara hentaman. Entah la, semua ni pun bergantung kepada persepsi masing-masing. Yang merasa mereka sangat betul, akan terus menghentam. 

Apa-apapun, bagi diri saya, kalau bab hukum menghukum tu elok lah serah kepada Al Muntaqim (Yang Maha Memberi Hukuman) sebab Dia lebih sempurna. Kita sebagai hamba, baca, hadam dan menginsafi serta belajar. Muhasabah. Kerana kita memang tidak sempurna. Wallahuallam.

Wednesday, 13 September 2017

Kerana Mulut

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Latihan lagi. Kali ni buat latihan mulut pula. Memang tak mudah sebenarnya nak dapatkan kualiti lukisan yang diidamkan. Bila lihat tutorial di internet, banyak juga alatan yang mereka gunakan untuk bantu cantikkan lukisan mereka. Saya cuba juga cari alat-alat tersebut di kedai alat tulis di sini tapi banyak yang tak ada. Mungkin kena order online jugak lah nanti.

Masih banyak latihan perlu dibuat. 

Bila lukis mulut, terfikir la pulak,

"Pernah tak kita terlepas cakap yang menyebabkan orang lain terasa dengan kita, atau apa yang kita cakap tu membuatkan orang jadi tak bersemangat, tertekan dan sebagainya?"

Mesti pernah kan? Ada ke orang yang tak pernah tersilap cakap? Mungkin ada kot, tapi tak ramai, itu saya yakin. 

Saya sudah tentu pernah. Dan saya juga pernah banyak kali terkena seperti yang saya tulis tu. Ada sesetengah orang yang memang tak boleh lari, setiap kali bercakap mesti ada je perkara yang menyakitkan hati yang keluar dari mulut dia. Mungkin bagi dia itu perkara biasa je. Mungkin juga niat dia adalah baik untuk pastikan kita jadi lebih bagus. Tetapi ayat-ayat yang digunakan sebenarnya masih boleh dipertimbangkan. 

Sebab itu, saya selalu berhati-hati bila ingin berbicara atau berkata-kata. Tambahan pula bila saya ingin berkata-kata dengan anak-anak saya sendiri, Kalau boleh, tak mahu lah nanti mereka menjadi hilang semangat dan tidak yakin pada diri sendiri hanya kerana ibunya berkata sesuatu yang membolehkan mereka merasakan sedemikian. Hmmmm...

Akhir kata, kalau dah tak tahu nak cakap apa yang baik, diam itu lebih afdhal. Wallahuallam.

Tuesday, 12 September 2017

Latihan Lukisan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Sekarang ni, dalam satu hari mesti ambil masa untuk belajar dan praktis melukis.

Sebenarnya, saya merasa sangat jeles bila melihat orang sangat pandai melukis dan lukisan mereka semua cantik dan seolah-olah hidup. Itu dah jadi salah satu matlamat saya dalam bidang lukisan ni. Ingin menjadi seperti mereka.

Ish...sebenarnya banyak juga matlamat yang saya ada untuk lukisan ni. Antaranya:

1)  dapat melukis seperti mereka-mereka yang sangat pandai melukis sampai tak nampak banyak beza antara gambar betul dengan lukisan mereka. Ala, yang macam pelukis yang dulu ada melukis kat pasar seni tu. Memang selalu kagum bila tengok depa melukis. Ternganga weh!

2)  dapat melukis apa yang ada dalam kepala. Sekarang ni agak susah juga nak turunkan apa yang ada dalam kepala ke atas kertas lukisan. Selalunya mesti tak menjadi huhuhu.

3) belajar grafik digital. Nanti nak punyai gajet canggih seperti tablet atau workstation yang selalu saya tengok dalam cerita korea. Yang boleh kita lukis atas monitor dia je. Tak perlu pakai pad ke, mouse ke apa. Monitor tu jadi kanvas. Hmmmm...

Sekarang sedang belajar sendiri menggunakan tutorial yang ada dalam internet. Tak kisah tutorial apa, asal ada kaitan dengan lukisan, saya belajar hehehe.

Cikgu internet kata, kalau nak pandai kena banyak buat latihan. Berlatih berlatih sampai lebam.

Jom berlatih lukis mata dulu hahaha.

Monday, 11 September 2017

Memang Kita Mampu

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri



Suka dengan kata-kata yang saya tulis dalam lukisan di atas:

"GOD would not have put a dream in your heart
if HE hadn't already given you everything you need to fulfill it."

Sesungguhnya lah kan, setiap kali hati kita terdetik untuk mencapai sesuatu atau bila kita menginginkan sesuatu itu, ketahuilah kita sebenarnya berupaya melakukannya atau mampu memperolehinya kerana Allah telah pun melengkapkan kita dengan apa yang perlu untuk jadikan impian kita itu kenyataan. Tinggal kita je yang perlu gali dan fokus dan berusaha. 

Semoga segala impian kita ini akan menjadi kenyataan suatu hari nanti, in sya Allah.

Wednesday, 6 September 2017

Kisah Suri Rumah

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Hari tu ada terbaca pasal suri rumahtangga di facebook. Ada yang menceritakan apa yang dia dapat setelah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan jadi suri rumah. 

Sebagai seorang suri rumahtangga yang dah berhenti kerja hampir 10 tahun, ada yang saya bersetuju dengan apa yang ditulis dan sudah tentu ada juga yang tak berapa nak setuju. Sebab semestinya situasi masing-masing berbeza. Tak sama. 

Kalau dia menyatakan yang tak ada "me time" iaitu masa untuk diri sendiri, mungkin sebab beliau masih punya ramai anak-anak kecil. Tapi bagi saya, anak paling kecil pun dah nak mula sekolah tahun depan, jadi masalah "me time" tidak timbul. Ye betul, ada masanya keadaan jadi kecoh sebab ada ketika tiba-tiba urusan jadi banyak sehingga diri sendiri pun tak sempat nak urus sangat. Namun itu berlaku sekali sekala sahaja. Bukan setiap hari. 

Kalau berkenaan "social life" pula, iaitu hubungan dengan kawan-kawan pun sama. Memang la whatsapp, facebook, telegram semua tu amat membantu waktu ini tetapi kami tetap juga luangkan masa untuk bertemu dan berborak secara tradisional hehehe. Kadang-kadang saya sendiri memilih untuk tidak bersosial sangat sebab nak tumpukan lebih masa pada diri sendiri. 

Apa-apa pun, semuanya memang bergantung kepada individu. Saya membaca cerita beliau, walaupun tidak semua sama dengan situasi saya tetapi saya tetap memahami. 

Apa yang sedihnya cuma bila ramai yang berpendapat:
-  seorang suri rumah hanya duduk lepak je kat rumah. Banyak masa. Sebab tak payah pergi kerja. 
-  seorang suri rumah tak pandai bergaul dengan orang sebab asyik terperap dalam rumah jaga anak-ana.
-  seorang suri rumah hanya pandai menghabiskan duit suami sahaja sebab dia sendiri pun tak menjana sebarang pendapatan.



Kata-kata semangat untuk hari ini:
"Only those who care about you can hear you even when you are quiet"

Dengan kata lain, pedulikan apa orang nak kata. Yang penting, orang yang sayang pada kita memang memahami kita. Kalau mereka tak faham kita, belum cukup sayang lah tu hehehehe.

Tuesday, 5 September 2017

Ketenangan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Alhamdulillah, dah pun mula balik sekolah dah anak-anak saya. Yang form 5 tu pun hari ni mula trial SPM. Mudah-mudahan dia dapat menjawab dengan tenang. 

Dah banyak jugak lukisan yang saya hasilkan sepanjang tak menulis di blog ni. Semuanya ada di instagram. Ada juga yang saya buat untuk anak-anak, dan juga untuk sahabat. Malahan saya ada juga buat sedikit ilustrasi untuk buku sahabat saya yang mungkin akan di "publish" kan sedikit masa lagi. Semoga urusan beliau dipermudahkan Allah.

OK lah, perkongsian grafik hari ini:

Dah lama dah lukis ni. Bulan lepas lagi. Lupa pulak nak letak tarikh. 

Kata-kata hikmahnya:

"One of the best lessons you can learn in life is to master how to remain calm"

Maksudnya:

Nak sentiasa tenang dalam hidup tu memang satu cabaran. Siapa yang mampu bertenang jika dihadapkan dengan situasi yang menyakitkan hati, yang menyesakkan dada, yang menyedihkan dan seumpamanya?

Mereka yang mampu melalui semua itu dengan tenang, walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu adalah seorang yang sangat kuat dan berani. 

Betul?

Itu pendapat saya. Dan satu target untuk diri saya juga. Ingin mencuba untuk bertenang dalam apa jua situasi. Mudah-mudahan.

Wednesday, 16 August 2017

Jumpa Kembali

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: Lukisan sendiri

Kelakar pulak tengok post sebelum ni. Beria konon macam boleh tulis setiap hari. Sudahnya menulis ke mana, blog bersawang haha. Nak salahkan sebab balik kampung raya ke? Sabor je lah.

Walaubagaimanapun, blog ni tetap berada di dalam hati. Dari sehari ke sehari teringat untuk masuk dan mencatat sesuatu tapi akhirnya kecundang jua.  

Apa pun, sekarang saya dah jumpa balik dah cinta hati saya i.e. hobi yang dah lama ditinggalkan. Hobi apa? Melukis. Dah ada beberapa lukisan yang dah siap dah pun, dalam buku sketch saya. Dan ada beberapa yang telah saya letak kat fb dan instagram. Nanti, letak kat sini lah pulak kot. 

Apa-apa pun, kita mula sedikit demi sedikit, OK?



Wednesday, 21 June 2017

Bagaimana nak menulis setiap hari?






Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: carian google

Dari dulu sangat teringin update blog setiap hari. Namun, dari sehari ke sehari, masa tidak mengizinkan untuk betul-betul duduk dan menulis. 


Image result for writing

Baru sahaja baca satu artikel dari Leo Babauta berkenaan menulis setiap hari. Katanya tak susah pun nak buat. Janji perlu ada komitmen. Dan nak menulis tak semestinya menulis sampai berpuluh ribu perkataan. Mulakan secara berdikit-dikit.

"How do you eat an elephant?   One bite at a time."

Macam tu lah jugak menulis. Berikut adalah tips yang diberikan oleh beliau untuk pastikan hajat menulis setiap hari itu tercapai:

1)   Setkan masa. 
 Tak perlu lama. Tak perlu berjam-jam. Untuk permulaan, setkan masa dalam 5 minit pun cukup. Dan pastikan masa itu memang digunakan sepenuhnya untuk menulis.

2)  Set kan panjang tulisan.
Mungkin boleh bermula dengan satu perenggan sahaja terlebih dahulu. Nak tulis apa? Kalau tak ada idea nak tulis apa, tulis sahaja apa yang muncul dalam kepala. Turunkan di kertas atau word document atau blog. Tak payah publish dulu pun tak apa kalau tulis diblog. Janji kita dah mula menulis setiap hari.

3)  Komitmen
Senang disebut, susah nak buat. Selalunya (ini apa yang saya rasa lah, orang lain mungkin berbeza), bila duduk depan buku atau komputer aja, mesti fikiran jadi resah dan macam nak lari dan buat benda lain. Nak basuh pinggan lah, nak minum air lah, nak baca emaillah dan macam-macam lagi. Akui lah benda tu pada diri sendiri. Katakan "Ya, aku nak baca email. Tapi nanti aku siapkan tulisan aku yang sikit ni dulu."

Begitulah caranya yang diberikan. Tak susah pun kan? Hahaha. Apa pun, akan cuba praktikkan dan kita tengok hasilnya nanti. Nak cuba buat untuk seminggu dan tengok lah, menjadi ke tak.

Nota: Tapi kan, kita dah nak raya ni. Kalau balik kampung boleh tak saya commit? Hmmm...tengoklah macamana.



Saturday, 13 May 2017

Jom muhasabah

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Tengok drama korea Perfect Wife. Ingatkan nak cerita pasal ciri-ciri isteri sempurna. Sekali cerita pasal manusia psiko. 

Yang paling terkesan, bila sang suami berkata yang dia akan buat refleksi diri demi untuk menyelamatkan rumahtangga beliau. Tapi apa yang berlaku? 

Kisah di bawah ini telah diubahsuai mengikut citarasa sendiri hehe. Bayangan yang hadir dalam kepala lepas tengok apa yang jadi hasil refleksi diri sang suami itu.

Kisahnya:

"Baik. Saya akan muhasabah diri. Untuk perbetulkan situasi ini"

Setelah selesai muhasabah diri,

"Saya dah selesai muhasabah. Saya rasa kita berada dalam situasi ini sebab:
    1 - saya selalu diperlekehkan oleh awak dan semua orang
    2 - saya tidak pernah diberi peluang untuk buktikan kehebatan saya
    3 - orang suka pinggirkan saya
    4 - bla bla bla...."

Hmmmm...ini muhasabah ke cari salah?

Kesiaaaannnn....


Tuesday, 9 May 2017

Aku perlu blog ini :)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Lama giler tak menulis di sini. Betul-betul menyepi dari dunia online. Wasap pun jarang join. Facebook pun jeling aje. Tulis sikit-sikit post, like sikit-sikit post orang, selebihnya tak buat apa-apa. Sindrom apakah ini? Hehehe. 

Urusan rumahtangga benar-benar mengambil banyak masa aku (tiba-tiba guna aku lah pulak). Hantar ambil anak sekolah. Nasib baik semua sekolah pagi. So, satu sesi sekaligus 4 orang. Cuma kadang-kadang ada yang kena stay back sebab ada ko-kurikulum dan kelas tambahan, jadi petangnya kena menyupir ke sekolah la jugak. Tapi tak jadi hal sebab sekaligus dengan uruskan urusan gerai makan D'Kejora. 

Itu lah dia. Jadi suri rumahtangga bukan takat suri rumahtangga aje. Tetapi juga jadi assistant untuk gerai makan, dan juga assistant untuk kompeni suami. Sekarang ni banyak urusan kompeni jadi tergendala sebab aku belum pandai nak urus sekaligus 3 tugas tu. Nak kena duduk termenung dan fikirkan bagaimana menangani semua urusan tu dengan optimum. Mesti perlukan sistem yang terkawal kan? Hmmm...

Rasanya kepala pun dah nak pecah memikirkan semua urusan duniawi tu. That's why I think I need to start blogging again to release all those things/junks inside my head. Letakkan semua di sini, mudah-mudahan kepala ringan dan boleh fikir dengan tenang langkah-langkah yang perlu. 

Satu je lagi yang sangat-sangat aku nak buat i.e. menjana pendapatan sendiri. Dari rumah. Itu pun dah macam-macam cuba sebenarnya. Affiliatelah, dropship lah tapi mungkin sebab disiplin tak cukup kuat, semua macam terbengkalai begitu sahaja. Kalaulah ada mentor yang dapat bantu, seronok jugak eh? Tapi dah tak nak dah join sebarang multi level ke apa ke. Sebab dah penat buat semua tu dulu. Dan suami memang tidak merestui. 

Macam dah merapu lah pulak. Menampakkan betapa serabutnya minda aku sekarang ni. I need a breather. Hehehehe. 

Apa-apa pun, lirik lagu ini menjadi penawar jugak:

"Jangan menangis, sayangku
Semua itu sementara
Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Moga bahgia di sana"

In sya Allah. 

Sunday, 1 January 2017

Tahun Baru Lagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, dah masuk tahun baru 2017. Masih berpeluang menemui tahun yang baru. Dan masih diberi waktu untuk mencipta kisah baru. 

Azam tahun baru? Tahun ni lambat sikit saya menulis azam. Sekarang pun masih belum tulis lagi ni walaupun dah ada muncul dalam kepala. 

Alhamdulillah, bila lihat balik azam tahun lepas, 3 dari 6 azam telah pun saya capai. Syukur. Dan yang lagi 3 tu, satu dalam proses, mungkin 2 atau 3 minggu lagi akan dicapai. Yang berbaki 2 akan saya panjangkan ke tahun ini. Sebab kerja-kerja ke arahnya telah pun saya mulakan. 

Baru tadi diberitahu dalam email, seeloknya azam atau matlamat yang kita buat itu adalah sejajar dengan kita punya kekuatan. Seperti yang telah ditulis sebelum ni, apakah kekuatan saya? Cinta pada ilmu atau minat untuk belajar. Itu adalah kekuatan utama saya. Jadi, seeloknya bila saya letak matlamat, rangka untuk capai matlamat tu eloklah dengan menggunakan kekuatan yang saya ada. Dan saya rasa memang tidak susah pun nak buat tu. Sebab matlamat-matlamat saya memang perlukan ilmu. Jadi kecintaan saya pada ilmu boleh saya manfaatkan untuk merangka gerak kerja untuk saya capai matlamat saya.

Contoh: Matlamat untuk kesihatan - ingin kempiskan perut hehehe
Jadi, untuk capai matlamat ni, pertama sekali saya perlu cari ilmu mengenai bagaimana nak kempiskan perut. Apa makanannya, apa aktivitinya, apa tipsnya dan seumpamanya. Dah tahu, boleh la laksanakan dengan berperingkat. 

Rasa seronok pulak. Memang betul jugak katanya kalau pasang matlamat selari dengan kekuatan utama kita, semangat untuk capai matlamat tu jadi lain macam sikit hehehehe. Mudah-mudahan. Meh la nak gi tulis matlamat kat buku jurnal :)