Sunday, 4 August 2019

TIGA (3) JENIS HUBUNGAN MANUSIA

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google (dari medium.com)


Image result for relationship


Dalam hidup kita, sudah pasti tidak dapat lari dari perhubungan, terutama sekali hubungan manusia dengan manusia. Hubungan keluarga, sahabat handai, rakan sekomuniti dan juga dengan masyarakat.  

Ada masa hubungan kita itu lama, menjangkau masa bertahun-tahun. Ada juga yang hanya sebentar cuma. Jumpa di seminar, jumpa di kedai dan kemudian berpisah. 

Ada hubungan yang memberi impak positif, ada juga yang sebaliknya. 


JENIS HUBUNGAN

Menurut pakar motivasi, Lisa Nichols, perhubungan antara manusia boleh dikategorikan kepada 3 jenis. Mari kita lihat jenis hubungan tersebut.

1)  Hubungan seumur hidup
  • hubungan ini adalah di mana ianya kekal sehingga akhir hayat. Mereka yang ada hubungan sebegini dengan kita akan berada bersama kita sehinggalah jasad kita diturunkan ke liang lahad. 
  • Mereka mungkin tidak selalunya bersama 24/7 dengan kita tetapi bila tiba saatnya kita mengucapkan selamat tinggal kepada dunia, mereka inilah yang akan ada bersama-sama.
  • Siapakah mereka? Hanya diri sendiri yang tahu.


2)   Hubungan yang memberi makna dalam hidup kita (life-giving relationship)
  • mereka ini datang selalunya untuk memberi kita peringatan tentang sesuatu, atau untuk mengajar kita sesuatu. 
  • hubungan ini biasanya tidak lama. Ia boleh bertahan dari 1 hari dan paling lama 2 tahun. 
  • mereka ini boleh jadi guru kita, atau sahabat kita atau boleh jadi juga seorang tukang sapu, tukang cuci, dan sesiapa sahaja. 
  • Contoh: 
Pada suatu hari, kita ke pusat membeli belah untuk membeli barang dapur. Sedang sibuk memilih barang dapur, ada seorang mak cik tukang cuci yang sedang mencuci lantai di hadapan satu kedai dalam pusat membeli belah tersebut. Dengan baju yang lusuh, dengan tudung yang senget-benget, dan bau yang kurang menyenangkan, kita lantas memandang makcik tersebut dengan satu perasaan yang semacam. Dalam hati kita berkata-kata "Busuknya makcik ni. Cepat-cepatlah siapkan kerja tu. Kejap lagi aku nak lalu."
Kita pun lalu sebelah makcik tu untuk pergi ke kedai sebelahnya. Tiba-tiba, makcik tersebut memanggil kita "Cik Puan! Cik Puan!" Dalam hati kita berkata lagi "Ah sudah. Nak apa makcik ni. Nak minta tolong lah tu. Tak pun nak minta duit."
Apabila makcik tu datang, kita buat muka tak senang. Sekali, makcik tu hulurkan tangan beliau. Dan dalam tangan beliau ada segumpal duit. "Cik Puan, ni duit cik puan terjatuh tadi. Nasib baik saya ternampak. Dan orang pun belum ramai sangat. Kalau tidak, tak tahu lah apa jadi dengan duit puan ni"
Apa perasaan kita masa tu? Masihkah kita merasa jengkel dengan makcik itu? Duit kita banyak pula tu yang jatuh. Dan bila kita kira balik, tak ada hilang satu sen pun. 
Maka, sedarlah kita, jangan terus menghukum seseorang hanya dari luaran sahaja. Walaupun makcik itu miskin dan busuk, tetapi dia jujur. 
Ini lah maksudnya hubungan yang memberi makna itu. Dia hadir untuk menyedarkan kita. Memberi pengajaran. Belajar sesuatu. Dan hadirnya sekejap aje. Tak sampai satu hari pun.  Boleh faham kan?

3)   Hubungan untuk memenuhi tujuan (purposeful relationship)
  • merupakan hubungan yang paling kelam kabut
  • hampir 80% daripada manusia berada di dalam hubungan sebegini
  • hubungan ini berlaku apabila dua atau lebih orang hidup/duduk bersama untuk melakukan sesuatu tujuan bersama-sama. Juga untuk belajar sesuatu bersama-sama. Contoh: untuk membina satu perniagaan (business partner)
  • selagi tujuan tidak tercapai, selagi itu hubungan ini akan kukuh.
  • Apabila tujuan sudah dicapai, maka hubungan ini akan berubah. Terpulang kepada yang terlibat sama ada untuk kekal meneruskan hubungan ini atau tidak.
  • Jika memilih untuk kekal, maka perlu diberi definisi baru atau cari tujuan yang baru.
  • Ada yang memilih untuk memutuskannya. Jika ini berlaku, ketahuilah yang ia berlaku kerana tujuannya sudah dicapai. 
  • Ia menjadi kacau bilau apabila ada pihak yang tetap ingin mengekalkan tujuan yang telah tercapai tanpa memberi nafas baru kepada tujuan tersebut. 
  • Dalam contoh membina perniagaan tadi, apabila perniagaan sudah maju, duit masuk berjuta-juta, jadi waktu itu tujuan asal sudah tercapai. Maka hubungan itu akan menjadi bosan jika masih ingin diteruskan seperti itu. Jadi tidak hairanlah jika business partner kita tiba-tiba ingin beralih arah dan pergi membuka perniagaan dengan orang lain pula. 

REFLEKSI

Itu lah tiga hubungan yang ada dalam kehidupan kita. Cuba kita perhatikan diri kita sendiri. Kenalpasti hubungan yang ada di sekeliling kita. 

Jika kita faham kenapa satu satu hubungan itu berlaku sedemikian rupa, kita akan lebih bersedia, lebih redha untuk menerima apa jua keadaan yang datang.  

Mungkin pasangan kita meninggalkan kita kerana tujuan dia untuk bersama kita sudah tercapai. Apa tujuannya? Hanya dia yang tahu. 

Namun, apa jua hubungan yang ada, hanya satu hubungan yang akan kekal sampai bila-bila. Iaitu hubungan kita dengan Sang Pencipta. Dan hubungan ini lah yang paling perlu kita jaga. Dalam apa saja keadaan sekalipun. Setuju?

Wallahuallam bissawab. 








No comments:

Post a Comment