Monday, 19 August 2019

Kenangan Silam - Nostalgia

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


JEJAK KASIH - DENGAN DIRI SENDIRI

Bila menjejak statistik di blog ni tadi, terlihat nama blog lamaku di situ. Ada orang melawat blog aku yang dulu. Dan kemudian datang ke mari sebab aku dah tulis yang aku akan berpindah ke blog ini.

Terasa ingin lihat kembali pula blog yang dulu.  Aku klik link itu. Dan sampailah aku ke situ.

Ku baca 2, 3 entri yang pernah ku tulis. Kelakar ada, kagum pun ada, hahahaha. Perasan sorang-sorang.

Tak sangka banyak juga yang aku tulis waktu tu. So, I really can call myself a writer. Iyooo lah.


NOSTALGIA - JEJAK KASIH DENGAN SAHABAT

Aku tengok pula senarai blog rakan-rakan yang pernah aku jejaki blog mereka dulu. Wah, panjang juga senarainya.

Aku klik satu persatu. Nostalgia sangat.

Aku lihat hampir semua mereka sudah tidak menulis di blog. Tarikh akhir masing-masing menulis, ada yang pada tahun 2004, ada 2006, ada 2010, ada 2011 dan ada juga yang sudah delete blog mereka barangkali. Sebab dapat mesej "Error".

HARAPAN

Sungguh besar harapan aku. Alangkah bagusnya jika zaman kegemilangan blog suatu ketika dahulu kembali semula. Tentu seronok, kan?

Namun, apakan daya. Media sosial lain yang lebih mendapat perhatian. Tak mengapa, aku akan tetap bersama dengan blog. Walaupun menulis di laman media sosial yang femes itu, tapi blog ini tetap tidak akan aku lupakan.

Moga masih ada juga sahabat yang sudi melawat ku di sini. :)

Apo nak dikato...


Sunday, 4 August 2019

TIGA (3) JENIS HUBUNGAN MANUSIA

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google (dari medium.com)


Image result for relationship


Dalam hidup kita, sudah pasti tidak dapat lari dari perhubungan, terutama sekali hubungan manusia dengan manusia. Hubungan keluarga, sahabat handai, rakan sekomuniti dan juga dengan masyarakat.  

Ada masa hubungan kita itu lama, menjangkau masa bertahun-tahun. Ada juga yang hanya sebentar cuma. Jumpa di seminar, jumpa di kedai dan kemudian berpisah. 

Ada hubungan yang memberi impak positif, ada juga yang sebaliknya. 


JENIS HUBUNGAN

Menurut pakar motivasi, Lisa Nichols, perhubungan antara manusia boleh dikategorikan kepada 3 jenis. Mari kita lihat jenis hubungan tersebut.

1)  Hubungan seumur hidup
  • hubungan ini adalah di mana ianya kekal sehingga akhir hayat. Mereka yang ada hubungan sebegini dengan kita akan berada bersama kita sehinggalah jasad kita diturunkan ke liang lahad. 
  • Mereka mungkin tidak selalunya bersama 24/7 dengan kita tetapi bila tiba saatnya kita mengucapkan selamat tinggal kepada dunia, mereka inilah yang akan ada bersama-sama.
  • Siapakah mereka? Hanya diri sendiri yang tahu.


2)   Hubungan yang memberi makna dalam hidup kita (life-giving relationship)
  • mereka ini datang selalunya untuk memberi kita peringatan tentang sesuatu, atau untuk mengajar kita sesuatu. 
  • hubungan ini biasanya tidak lama. Ia boleh bertahan dari 1 hari dan paling lama 2 tahun. 
  • mereka ini boleh jadi guru kita, atau sahabat kita atau boleh jadi juga seorang tukang sapu, tukang cuci, dan sesiapa sahaja. 
  • Contoh: 
Pada suatu hari, kita ke pusat membeli belah untuk membeli barang dapur. Sedang sibuk memilih barang dapur, ada seorang mak cik tukang cuci yang sedang mencuci lantai di hadapan satu kedai dalam pusat membeli belah tersebut. Dengan baju yang lusuh, dengan tudung yang senget-benget, dan bau yang kurang menyenangkan, kita lantas memandang makcik tersebut dengan satu perasaan yang semacam. Dalam hati kita berkata-kata "Busuknya makcik ni. Cepat-cepatlah siapkan kerja tu. Kejap lagi aku nak lalu."
Kita pun lalu sebelah makcik tu untuk pergi ke kedai sebelahnya. Tiba-tiba, makcik tersebut memanggil kita "Cik Puan! Cik Puan!" Dalam hati kita berkata lagi "Ah sudah. Nak apa makcik ni. Nak minta tolong lah tu. Tak pun nak minta duit."
Apabila makcik tu datang, kita buat muka tak senang. Sekali, makcik tu hulurkan tangan beliau. Dan dalam tangan beliau ada segumpal duit. "Cik Puan, ni duit cik puan terjatuh tadi. Nasib baik saya ternampak. Dan orang pun belum ramai sangat. Kalau tidak, tak tahu lah apa jadi dengan duit puan ni"
Apa perasaan kita masa tu? Masihkah kita merasa jengkel dengan makcik itu? Duit kita banyak pula tu yang jatuh. Dan bila kita kira balik, tak ada hilang satu sen pun. 
Maka, sedarlah kita, jangan terus menghukum seseorang hanya dari luaran sahaja. Walaupun makcik itu miskin dan busuk, tetapi dia jujur. 
Ini lah maksudnya hubungan yang memberi makna itu. Dia hadir untuk menyedarkan kita. Memberi pengajaran. Belajar sesuatu. Dan hadirnya sekejap aje. Tak sampai satu hari pun.  Boleh faham kan?

3)   Hubungan untuk memenuhi tujuan (purposeful relationship)
  • merupakan hubungan yang paling kelam kabut
  • hampir 80% daripada manusia berada di dalam hubungan sebegini
  • hubungan ini berlaku apabila dua atau lebih orang hidup/duduk bersama untuk melakukan sesuatu tujuan bersama-sama. Juga untuk belajar sesuatu bersama-sama. Contoh: untuk membina satu perniagaan (business partner)
  • selagi tujuan tidak tercapai, selagi itu hubungan ini akan kukuh.
  • Apabila tujuan sudah dicapai, maka hubungan ini akan berubah. Terpulang kepada yang terlibat sama ada untuk kekal meneruskan hubungan ini atau tidak.
  • Jika memilih untuk kekal, maka perlu diberi definisi baru atau cari tujuan yang baru.
  • Ada yang memilih untuk memutuskannya. Jika ini berlaku, ketahuilah yang ia berlaku kerana tujuannya sudah dicapai. 
  • Ia menjadi kacau bilau apabila ada pihak yang tetap ingin mengekalkan tujuan yang telah tercapai tanpa memberi nafas baru kepada tujuan tersebut. 
  • Dalam contoh membina perniagaan tadi, apabila perniagaan sudah maju, duit masuk berjuta-juta, jadi waktu itu tujuan asal sudah tercapai. Maka hubungan itu akan menjadi bosan jika masih ingin diteruskan seperti itu. Jadi tidak hairanlah jika business partner kita tiba-tiba ingin beralih arah dan pergi membuka perniagaan dengan orang lain pula. 

REFLEKSI

Itu lah tiga hubungan yang ada dalam kehidupan kita. Cuba kita perhatikan diri kita sendiri. Kenalpasti hubungan yang ada di sekeliling kita. 

Jika kita faham kenapa satu satu hubungan itu berlaku sedemikian rupa, kita akan lebih bersedia, lebih redha untuk menerima apa jua keadaan yang datang.  

Mungkin pasangan kita meninggalkan kita kerana tujuan dia untuk bersama kita sudah tercapai. Apa tujuannya? Hanya dia yang tahu. 

Namun, apa jua hubungan yang ada, hanya satu hubungan yang akan kekal sampai bila-bila. Iaitu hubungan kita dengan Sang Pencipta. Dan hubungan ini lah yang paling perlu kita jaga. Dalam apa saja keadaan sekalipun. Setuju?

Wallahuallam bissawab. 








Wednesday, 10 July 2019

RAS (Reticular Activation System) dan Fungsinya

Teks:: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: illustrasi sendiri

Assalamualaikum w.b.t

Semalam saya ada up gambar di bawah ni di facebook.

Ingin sekali berkongsi mengenai kehebatan satu makhluk ciptaan Allah yang Allah letakkan di dalam kepala kita iaitu RAS (Reticular Activation System).

Saya tidak akan bercerita mengenai fakta saintifik RAS ni sebab itu semua boleh diperolehi melalui encik Google. 

Apa yang saya nak cerita adalah apa kerja dia dan kebaikannya pada kita. 

Sebelum tu, kita perlu tahu, otak/minda kita diciptakan oleh Allah dengan sangat hebat hingga dapat mencerap dan menerima berbillion data dalam masa satu saat. Bayangkan, 2 billion maklumat masuk kepala. Jika semuanya dilakukan secara sedar, alangkah "jeng" nya, kan? 

Dan kita juga banyak keinginan. Keinginan selalunya hadir dalam kepala dulu. Betul? Maka, dalam kekalutan semua benda tu, hadirlah RAS ni untuk memudahkan kita.  

Perasan tak, selalunya bila kita fokus atau fikir akan sesuatu perkara, perkara tersebut akan muncul depan kita? Contoh: kita selalu bercerita mengenai kereta idaman (ini contoh yang paling kerap digunakan ni hehehe).  Bila asyik je bercerita, asyik fikir pasal kereta tu, kita selalu akan nampak kereta tu lalu sebelah kita lah, duduk depan kita lah, parking sebelah kita lah. Pernah berlaku kan?

Atau kadang-kadang tu kita fikir atau teringat akan seseorang, tiba-tiba dia call, atau wasap atau kita terserempak dengan dia. 

Macam saya pula, selalu kalau saya menyanyi satu lagu ulang ulang, petang tu lagu tu akan terpasang dalam radio. Bukan sekali pulak tu. Hehehe. 

Itu lah kerja RAS. Ia seperti radar yang akan cari perkara yang kita fikirkan atau fokuskan. 

Saya perasan sangat benda ni sebab dah banyak perkara yang saya dapat asbab RAS ni lah.

Bermula dari monolog saya yang saya cerita dalam blog ni dan juga di facebook, berkenaan bagaimana saya sedar yang saya takut untuk rasa panas neraka Allah. Saya duk fikir dan doa, Ya Allah, bagaimana untuk aku dapatkan syurgaMu sebab aku takut akan nerakaMu. 
Tup tup, Allah hadirkan satu circle yang saya juga telah ceritakan dalam blog ini. Circle ini banyak memberi saya ilmu berkenaan amalan yang boleh saya buat. Tinggal saya nak amal ke tak je huhuhu.

Kemudian, saya terfikir pula nak belajar tentang penulisan.Allah beri saya satu circle yang ramai ahlinya adalah penulis. Dan kemudian saya dapat juga berkenalan dengan penulis terkenal Puan Sharifah Abu Salem. Saya akan belajar dengan beliau akhir bulan ni, dalam kelas yang beliau anjurkan. 

Lepas tu, saya fikir lagi. Nak dapat income hasil dari penulisan. Saya ditunjukkan Allah kelas online ghostwriter. Dan sekarang saya dah jadi seorang ghostwriter yang memang dapat jana sedikit income. Baru je malam tadi, client hubungi saya untuk satu job. Ini repeat client. Dah 3 kali dia gunakan khidmat saya, alhamdulillah. 

Saya fikir lagi, nak faham al Quran. Benar-benar faham. Tup tup cikgu Suzana jemput masuk circle jurnal al Quran pula. Dan dari situ saya belajar tadabbur dan tazakkur. Allahuakbar. 

Dan banyak lagi benda-benda kecil yang bila saya fokus, saya dapat. Parking tak payah cerita, selalu dapat. Traffic light selalu hijau, pun kerap dapat. Nak masuk roundabout, biasanya kereta beratur tapi bila sampai turn saya, tak de kereta. Semua benda yang nampak kecil dan remeh tapi sebenarnya ia sangat memudahkan dan melancarkan urusan kerja saya. Syukur alhamdulillah sangat sangat. Semuanya dengan izin Allah. 

Yang paling saya terkesan adalah, pada hari jadi saya bulan lepas, ia seperti satu mentol lampu muncul dalam kepala. Sebab saya asyik baca dan fikir pasal RAS ni waktu tu, tiba tiba saya dapat satu email dari luar negara yang bercerita mengenai RAS.  Waktu itulah, semua yang saya belajar, datang zup zup dalam kepala. Saya menangis dan sujud syukur malam tu. Hadiah harijadi terhebat. Dari Allah. 

Kalau tengok dalam gambar di atas, saya ada letakkan tentang surah al Baqarah, ayat 186.  Tentang bagaimana Allah kata yang Dia sangat dekat dengan hambaNya. Dan Dia selalu makbulkan doa hambaNya. Itu lah ayat yang terkesan pada saya bila saya tulis jurnal al Quran, dalam maqroknya. Boleh baca perkongsian saya di sini.

Bila kita lihat kedudukan RAS ni, kat mana letaknya? Sangat dekat dengan kita, kan? Dan RAS ni dicipta Allah untuk bantu kita capai apa yang kita nak, kan? Allahuakbar. Allah sudah hantar wakilNya untuk kita, kita je yang tak perasan. Dan selalu kita rasa seperti Allah itu jauh (saya lah tu). Tapi sebenarnya, lihatlah sendiri.

Sebab itu lah, tak perlu pergi jauh untuk kita kenal Allah. Lihat dalam diri sendiri pun dah banyak kehebatan dan kekuasaan Allah yang ada dan yang dapat kita syukuri.

Banyak lagi sebenarnya yang ingin saya tuliskan. Tentang bagaimana RAS sahaja tidak cukup untuk capai impian, perlu juga ada emosi/hati. Tentang penghalang kepada RAS iaitu amygdala, yang kerja dia nak sekat RAS ni bekerja hehehe. Dan banyak lagi lah.  Tapi cukup sampai di sini dahulu. Ada masa nanti saya kongsi lagi. 

Terima kasih pada  yang sudi membaca. Kalau sudi, marilah kongsikan pengalaman anda tentang RAS ni. Yang mungkin sebelum ni anda tak perasan pun tapi sebenarnya ia berlaku. Hehehe...seronok juga baca cerita dari orang ramai ni. 

Wallahuallam.

Monday, 15 April 2019

Potensi dan kelemahan diri

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Dah lebih seminggu tak update blog. Asyik ada orang je guna komputer, baik siang baik malam baik awal pagi hehehe. Jadual anak-anak saya memang tak sama. Ada yang tidur lambat, ada yang tidur awal. So, bila yang tu tidur, yang ni guna komputer dan terbalik bila yang tu pulak bangun dan yang ni tidur. Sedang dalam proses untuk berikan mereka aktiviti lain selain menggunakan gadgets. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah.

Semenjak saya melakukan tahajjud ni, sebenarnya juga saya punya banyak aktiviti. Seperti yang saya tulis dalam post di facebook saya, saya diberikan rezeki ilmu yang melimpah ruah. Kiri kanan depan belakang saya dapat ilmu. Belum habis berguru untuk ilmu itu, datang pula peluang mendalami ilmu yang ini. Alhamdulillah sangat. Mungkin sebab memang saya suka belajar, suka membaca maka Allah berikan saya rezeki dalam perkara yang saya suka. Dan saya juga suka menulis. Maka, bila dah dapat ilmu tu boleh lah pulak saya menulis untuk dikongsikan dengan orang lain. Ianya sungguh menggembirakan hati. 

Kata Sifu, untuk kenali potensi diri sendiri adalah apabila kita melakukan perkara yang kita suka. Bila kita buat perkara tu kita akan rasa gembira yang teramat. Alhamdulillah, saya memang dah jumpa. Cuma sekarang ni saya perlu kuncikan kelemahan saya. Saya ada banyak kelemahan.

Antaranya:

1. Malu dan takut untuk menyuarakan atau ketengahkan pendapat, idea. Sebab tu bila nak menulis, rasa macam takut dan malu. Takut orang kata, ilmu tak sebanyak mana tapi nak menulis pasal topik tu.

2.  Tak yakin pada diri sendiri.

3.  Mudah rasa down atau kecewa jika apa yang diharapkan tidak menjadi.

Hmmm...banyak juga tu hehehe. Akan saya cuba buangkan sikit demi sedikit supaya potensi saya dalam pembelajaran dan penulisan boleh terserlah, cewah.

JOM BUAT AJE!

Sunday, 7 April 2019

Komunikasi Dengan Diri Sendiri

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari ke 5 sejak saya memulakan bangun untuk solat Tahajjud. Banyak jugak cabaran terutama untuk tidur awal, seawal pukul 9:00 malam, memang tak dapat lagi lah setakat ni hehehe.  Ye lah, kita dah biasa tidur pukul 12:00, pukul 1:00 nak ubah bukannya senang. Tapi alhamdulillah lah, sekurang-kurangnya lebih awal dari biasa. Pukul 10:30 tu dah sedia untuk landing dah hahaha.

Apa yang buat saya terharu adalah, walaupun saya tidur lambat, tapi tetap juga secara automatiknya saya akan terbangun sama ada pukul 3:00 atau pukul 4:00. Jadi masih lagi sempat untuk saya lakukan solat tersebut. Kalau tak tersedar sendiri, pasti saya akan dengar alarm henfon saya. Kalau sebelum ni, alarm henfon tu susah bebeno saya nak dengar huhu. Syukur dan terharu. Allah dengar hasrat saya setiap kali sebelum tidur untuk bangun jugak solat. 

Malam tadi sempat juga buka jurnal/diary lama. Dan terkesima sekejap bila tengok antara impian yang saya tulis saya nak capai pada tahun 2016 adalah untuk bangun solat Tahajjud. Allahuakbar. Akhirnya impian saya tu dapat dicapai juga tahun ni. Selepas 3 tahun. Kalau dulu cuba sendiri-sendiri tapi tak menjadi, tahun ni dengan asbab bantuan circle yang saya ceritakan dalam post sebelum ni, dapat saya buat. Dan alhamdulillah, masih boleh istiqamah setakat hari ni. Moga terus istiqamah sehingga akhir hayat. Amiin.

Apa yang saya suka bila bangun solat Tahajjud ni, lepas solat kita boleh duduk dan muhasabah. Satu tabiat yang sebenarnya saya selalu buat iaitu 


COMMUNICATE WITH YOUR INNER SELF


Cakap pada diri sendiri. Monolog secara senyap. Ada masanya terkeluar suara jugak. Tapi selalunya keluar suara tu masa tengah driving sorang-sorang lah, Tak de orang dengar hehehe. Risau jugak nanti orang ingat saya tak betul atas kepala kalau tengok saya cakap sorang-sorang hahahaha. Dan ini lah "me time" yang paling seronok sebenarnya. Cakap pasal "me time" ni, ada idea nak tulis kat facebook pulak ni haha. OK lah, off for now. 

JOM  KITA BUAT!!

Wednesday, 3 April 2019

Allah Memang Makbulkan Setiap Doa

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, dah masuk bulan April dah. Salam hari Isra' Mikraj (hari ni).

Hari tu saya ada bercerita mengenai circle yang bagus dan kenapa kita perlu berada dan mencari circle sedemikian kan? Alhamdulillah, saya dapat masuk lagi satu circle yang amat bagus pada pendapat saya.

Saya rasa ini semua bermula dari hasrat saya yang terdetik di dalam hati iaitu untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Selalu lepas solat saya akan bermonolog mengharapkan agar Allah dapat tunjukkan jalan bagaimana untuk saya mendapatkan keredhaanNya. Ya, saya ingin ke syurga Allah. Saya takut akan nerakaNya.

Pada masa yang sama, saya juga bermonolog untuk kebaikan di dunia. Apa yang patut saya buat di sini agar dapat saya bawa untuk ke sana.

Itu lah bermulanya saya melihat jemputan memasuki Srikandi Inspirasi, satu circle penulisan yang berinspirasi. Dan pada masa yang sama saya dapat baiki penulisan saya. Dan harapan saya adalah agar dapat saya beribadah menerusi penulisan. Mudah-mudahan.

Tidak lama selepas itu, saya ternampak pula link di facebook yang diletakkan pada wall sahabat saya. Pada link tersebut hanya dinyatakan mengenai ilmu keusahawanan. Teringin juga belajar mengenai bisnes, saya masuk circle tersebut.

Pada mulanya agak bingung juga sebab apa yang diajar  tiada kaitan sangat pun dengan bisnes. Lebih kepada amalan seharian yang patut kita lakukan. Tetapi lama kelamaan, saya dapat lihat yang circle inilah yang sebenarnya yang saya minta dari Allah hari tu iaitu bagaimana untuk saya dekatkan diri denganNya.

Circle ini menekankan kelebihan tahajjud di malam hari. Dan solat-solat sunat yang berkaitan yang elok dilakukan apabila bangun tahajjud. Tak pernah saya buat perkara ni sebelum ni. Kalau terjaga tengah malam pun, saya selalunya akan usaha untuk tidur balik. Risaunya saya takut tak cukup tidur esoknya.

Hari ini adalah hari kedua saya melakukan solat tahajjud. Saya cuba tidur awal agar dapat bangun malamnya. Dan memang betul bagai dikata oleh Sifu, sebaik sahaja selesai solat, tak rasa mengantuk pun malahan rasa lebih segar.

Dan yang saya perasan, waktu dalam proses pembelajaran, saya memasang niat sahaja dulu untuk melakukan tahajjud tersebut. Tetapi walaupun hanya dengan niat, tiba-tiba saya dapat rasakan ganjaran yang Allah berikan iaitu hati lebih tenang, masa yang ada terasa lebih panjang dan digunakan pada benda yang bermanfaat. Fikiran lebih rasional dan lebih positif. Saya rasa sangat seronok.

Saya berdoa agar saya dapat istiqamah dengan tahajjud ni. Walau apa pun keadaan saya, sesibuk mana pun saya nanti, saya mohon sangat untuk istiqamah. Itu doa saya pada Allah.

Mudah-mudahan diperkenankan. Amiin.

JOM KITA BUAT !!

Tuesday, 19 March 2019

Buat Baik Orang Sayang

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih banyak lagi "habit goals" yang nak dibuat ni. Alhamdulillah, setakat ni apa yang ditulis dapat dipraktikkan bila perlu. Kali ni habit goal yang nak ditekankan adalah

PRIORITIZE KINDNESS

Tengok kebaikan dulu. Tak kisah lah kita yang nak buat kebaikan atau kita lihat kebaikan orang lain.  

Walau kita disakiti (hadoi), cuba balas dengan kebaikan terlebih dulu. Bila orang buat baik dengan kita, hargai dan kalau boleh sebar kan, sebarkan. 

Contoh: entri saya di facebook mengenai seorang makcik peniaga yang baik hati selalu beri makanan percuma bila saya membeli. Saya pasti dia juga memberi percuma untuk pelanggan yang lain. Nak baca entri tu boleh ke sini.

Lagi entri mengenai ilmu storytelling yang diberi oleh guru di facebook. Ilmu diberi percuma pulak tu. Haih. Mereka semua ni memang orang hebat. Moga saya juga boleh jadi hebat seperti mereka. Mudah-mudahan. Amiin.

JOM KITA BUAT!!



Tuesday, 12 March 2019

Be In The Right Circle

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, banyak pula perkara yang berlaku sepanjang beberapa hari tidak menulis di blog.  Sekarang sudah masuk circle rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama iaitu menulis. Malahan ada di kalangan mereka dalam circle ni dah pun jadi penulis. Menulis ebook, menulis buku, artikel dan macam-macam lagi lah. Hebat sungguh. Terasa sangat gembira di hati hehe.

Jadi, sesuailah juga dengan matlamat habit yang ingin saya capai kali ni iaitu 


KNOW YOU ARE NOT ALONE IN YOUR PERSONAL GROWTH JOURNEY


Ya, saya berimpian. Saya ingin menambahbaik diri sendiri. Salah satunya adalah untuk menjadi seorang penulis yang baik. Walaupun untuk tulisan diri sendiri. 

Jika sebelum ini saya keseorangan, kini saya tahu saya sudah tidak lagi sedemikian. Saya dah tak jadi seperti ayam hilang kepala, berjalan tak tentu arah. 

Berada di dalam circle yang memang dah lama diingini, pasti banyak perkara yang dapat saya pelajari, sama ada sedar atau tanpa sedar. Semoga impian saya yang satu ini akan terlaksana dan semakin berkembang. Amiin.

JOM KITA LAKUKAN!!

Tuesday, 5 March 2019

KONGSI ILMU KONGSI PENGALAMAN, ITULAH KEKAYAAN SEBENAR



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: Carian google




Image result for share what you know

Pembangunan kendiri yang ke empat (4) yang cuba saya buat sebanyak mungkin adalah 


SHARE WHAT YOU KNOW

Memang dari dulu suka je kongsi apa yang saya pelajari, apa yang saya baca dan sebagainya cuma tak dibuat dengan kerap. Bila ada orang tanya baru saya kongsi.

Sebabnya adalah saya selalu merasakan tak ada orang pun yang nak tahu apa yang saya tahu ni. Hehehe. Satu mindset yang tak patut ada.  Mungkin juga ada sedikit masalah rendah diri. 

Ya, saya seorang yang "introvert". Tak suka tonjolkan diri.  Kalau boleh nak jadi anonymous sentiasa tapi suka menulis dan suka berkongsi. Hmmm...Memang confusing kan? Haha.

Apa pun, mulai sekarang akan saya gunakan platform blog ini untuk berkongsi apa yang saya pelajari, yang saya tahu, yang saya buat dan seumpamanya. 

Jika ianya bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang membaca blog ini atau terjumpa blog ini, syukur alhamdulillah. Jika tidak, anak-anak saya ada untuk membacanya hehe. 

Perjalanan pembangunan kendiri diri sendiri ni pun salah satu pengetahuan yang sedang saya kongsikan, betul tak? 

JOM KITA LAKUKAN AJE!!



Monday, 25 February 2019

Kita Buat, Allah Tolong



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej:  carian google


Image result for be a doer



"Saya rasa saya nak jadi penulis lah.  Tapi saya tak tahu kat mana nak mula, dan nak buat macamana"

Setiap kita ada rasa nak jadi sesuatu, jadi seseorang dan sebagainya, kan? Apa tindakan kita untuk jadi apa yang kita inginkan itu? Adakah kita hanya sekadar berimpian sahaja? Atau mungkin menulis impian tersebut di dalam journal atau diary. Tak pun dibiarkan sahaja dalam minda tanpa melakukan apa-apa. Dan mungkin juga terfikir "Tak apa, nanti akan aku buat satu hari nanti."  Ya, itu lah saya. Semua yang saya tulis tu, itu lah saya huhuhu.

Tetapi, beberapa minggu yang lepas, sesuatu telah berlaku dalam kehidupan yang menyebabkan saya berfikir dan merasa "Oh, cukup cukup lah jadi macam ni. Aku perlu buat sesuatu dan fokus". Dan bila terdetik sahaja perasaan itu, peluang ditunjukkan di depan mata. Ya, Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Dia tahu saya memang betul betul ingin lakukannya kali ini. Bukan seperti sebelum ini. 

Namun, peluang itu tidak dapat dicapai dengan senang juga. Ada halangan dari segi kewangan. Tetapi dalam hati saya tetap tidak goyah dan menyatakan "Aku redha jika aku tidak dapat mengambil peluang itu kerana hanya Kau yang tahu apa yang baik untuk aku". Tiba-tiba masalah kewangan tersebut selesai dan saya dapat mengambil peluang tersebut. Waktu itu, rasa nak menangis pun ada. Betapa sayangnya Allah kepada hambaNya. Hanya kita je yang tak tau bersyukur dan tak pernah mendahulukanNya dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Itu lah aku juga huhuhu.

Maka, satu lagi habit yang saya dapat dari peristiwa ini adalah 

BE A DOER

Jangan hanya fikir, buat. Jangan hanya cakap, buat. Selagi terdaya, buat aje. Itu lah yang jadi tagline saya sejak entri pertama di tahun 2019 ini. Hehehe. Saya akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan tagline tersebut untuk apa sahaja perkara dan memang saya nampak, bila kita mula melaksanakan langkah pertama, langkah yang seterusnya dinampakkan jalannya. Cuma tinggal kita sahaja untuk teruskan atau berhenti. Dan saya tahu, ujian dan halangan tetap akan ada. Nak tengok, seteguh mana keinginan kita itu. Moga dapat bertahan hingga ke hujungnya. Amiin.

JOM BUAT AJE!!

Monday, 18 February 2019

Sentiasa Belajar - Perlu Ke?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Banyak sebenarnya matlamat untuk perkembangan kendiri yang boleh kita buat. Saya pernah terbaca satu artikel yang menyenaraikan matlamat untuk satu tahun, sehari satu matlamat. Jadi kalau setahun, ada 365 matlamat yang boleh kita cuba capai. 

Hari tu matlamat saya adalah untuk banyakkan membaca. Yang itu memang dah pun terlaksana. Sekarang, matlamat yang kedua pula iaitu 

LEARN SOMETHING NEW (KNOWLEDGE, SKILL ETC)

Sebagai seorang suri rumah, peluang untuk saya belajar sesuatu yang baru mungkin tidak selalu saya perolehi kerana saya lebih banyak berada di rumah. Namun begitu, dunia sekarang ni memang penuh dengan teknologi terkini dan baru. Maka, peluang boleh saja datang depan mata jika kita mencarinya.

Terbaru, saya berpeluang untuk belajar mengenai kerjaya sebagai seorang penulis upahan atau nama glamournya "ghostwriter".  Masuk kelas online untuk 2 hari bersama guru Nordianah Bachok, seorang ghostwriter yang berpengalaman. Diberi nota dan tugasan, sekurang-kurangnya saya dapat mengetahui lebih mendalam mengenai apa yang boleh dibuat oleh seorang ghostwriter. Dan pada pendapat saya, sebagai seorang yang suka menulis, suka juga membaca dan mempunyai masa terluang setelah selesai semua tugasan di rumah, kerjaya sebagai ghostwriter ini sesuai untuk saya. Jadi, boleh lah saya mempelajari lebih lagi mengenai kerjaya ghostwriter ni. 

Memandangkan kerjaya ini boleh dilakukan secara freelance, maka tak perlu lah saya hadiri temuduga kerja semua tu. Saya boleh je terus lantik diri saya sebagai seorang ghostwriter, tak gitu? Sekarang ni, harapan saya adalah orang lain juga tahu tentang kerjaya saya ini dan sudi mendapatkan khidmat saya nanti. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki tersebut, amiin. Tugas utama saya sekarang cuma untuk pastikan ramai orang tahu mengenai kerjaya saya ini. :) Hmmm...satu lagi ilmu yang perlu saya tahu lah ni iaitu ilmu pemasaran atau marketing. Waaah....memang akan sentiasa berkembanglah matlamat yang satu ini hehehe.

JOM LAKUKAN AJE!!

Wednesday, 13 February 2019

Matlamat Pertama - Konsep Kendiri

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Entri lepas bercerita mengenai "my journey" ke arah pembangunan kendiri. Salah satu habit yang ingin saya terapkan adalah untuk:

READ AS MUCH AS YOU CAN

Membaca sebanyak mungkin. Tak kisah lah baca apa, buku ke, email ke, post dekat facebook ke. Baca aje. Lagipun, ayat Quran pertama yang turun pun menekankan pasal IQRA' yakni BACALAH, kan? 

Memang saya dah mulakan pun habit ni bermula dari awal tahun 2019 hari tu lagi. Dan untuk bulan pertama, Januari saya telah berjaya menghabiskan 7 buah buku. Hmmm...satu rekod sebenarnya untuk diri sendiri. Kalau email dan posts di facebook tu tak payah ceritalah, memang banyak dan tak keep track pun.

7 buku yang dah dibaca Januari lepas (semuanya novel):

1)   Banja Manggala dari Ramlee Awang Mursyid - kisah fantasi mengenai manusia serigala dan hero yang boleh mengawal serigala (seperti pengembala kaedahnya). Pengajaran yang paling utama yang saya perolehi dari buku ini adalah "La hau la wala quwwata illa billah", tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Kalimat itu yang sering disebut oleh beberapa karakter dalam buku ini.

2)   Finders Keepers  dari Stephen King - berceritakan mengenai seorang budak yang menemui harta karun yang ditanam oleh penjenayah 35 tahun yang lampau dan bila penjenayah itu keluar dari penjara dan mengetahui mengenai penemuan itu, beliau berusaha untuk mendapatkan balik harta beliau. Tetapi nasib berpihak kepada budak tersebut. Ye lah, macam biasa orang baik selalunya akan dapat hasil yang baik dan begitulah sebaliknya.

3)  Mereka dari Ariff Adly - Buku seram keluaran FIXI berkenaan sudut dimensi lain dunia. Idea yang menarik. Pengajarannya adalah harus berbalik kepada fitrah beragama iaitu agama Islam. Jangan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

4)  Gelap dari Ariff Adly - juga kisah seram. Berkenaan pembunuhan yang berlaku kerana dendam. Pengajarannya, jangan suka memperkecilkan kekurangan orang lain kerana itu boleh menyebabkan orang yang diperkecilkan itu mengalami masalah keyakinan diri dan memberi efek yang negatif kepada orang tersebut.

5)  No Place Like Home dari Mary Higgins Clark - berkisah mengenai kehidupan seorang wanita yang semasa kecilnya dituduh membunuh ibunya sendiri sehingga beliau trauma dan lupa apa yang terjadi pada malam itu. Tetapi akhirnya dia kembali ke rumah terjadinya peristiwa tersebut dan sedikit demi sedikit dia kembali ingat apa yang berlaku dan akhirnya berjaya membersihkan namanya.

6)  Kacau dari Ariff Adly - kisah seram lagi. Mengenai sekumpulan remaja yang diburu makhluk dari alam lain hanya kerana keinginan seorang dari mereka untuk memberikan adventure kepada rakan-rakannya. Akhirnya membawa padah kepada semua mereka.

7)  Sindiket dari Arman Jazee - berkisar tentang kisah penculikan kanak-kanak yang dilakukan untuk penjualan organ secara haram di mana kanak-kanak tersebut dibunuh untuk mendapatkan organ tersebut. Dan bagaimana seorang ibu tunggal yang anak-anaknya kena culik telah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan anak beliau kembali sehingga akhirnya sindiket penculikan itu terbongkar.

Fuhh...begitulah ceritanya. Untuk bulan Februari ni? Sedang membaca baru satu buku. Nanti akhir bulan kita buat recap lagi lah hehe.

JOM BUAT AJE!!!




Monday, 11 February 2019

Tahun Baru 2019


Image result for new year 2019Selamat Tahun Baru 2019  
(yang dah tak berapa baru).
Lama sungguh tak menulis di blog. 
Kekangan masa dan tugas dan macam-macam alasan yang boleh dibuat sendiri. Sendiri mau ingatlah.

Tiba-tiba tahun ni datang rasa nak menulis kembali di blog. Moga diberi ketahanan untuk konsisten menulis walaupun sepotong ayat.

Di usia yang semakin senja ni, dah tak ada apa yang boleh ditinggalkan selain dari tulisan. Sesuai dengan tajuk blog, akan fokus kepada pembangunan kendiri.

KONSEP KENDIRI
Sebenarnya, konsep kendiri ni apa ya? Kalau dicari di dalam kamus dewan, memang tiada definisi. Tetapi bila di google, ini yang diperolehi
Konsep kendiri merupakan penilaian seseorang terhadap dirinya atau cara dia menganggap tentang dirinya secara positif atau negatif. Untuk membina konsep kendiri seseorang juga menerima penilaian daripada orang lain. Hal ini meliputi persepsi tentang diri dan alam sekelilingnya melalui dirinya dan juga perasaan tentang kebolehannya meliputi keyakinan dan harga dirinya”  
---(dari laman web Wikipedia)

Kalau ikut kata Carl Rogers (1950) pula, konsep kendiri ni adalah satu gambaran persepsi kita tentang ciri-ciri dan kebolehan kita. Juga merupakan persepsi dan konsep kendiri berbanding dengan orang lain dan persekitarannya.

Senang cerita, setiap kita ni mesti ada rasa ingin membuat perubahan, sama ada pada diri sendiri ataupun pada orang lain. Yang paling senang adalah ubah diri sendiri. Ye ke? Hehehe..lagi sekali, sendiri mau ingat lah. Nak ubah orang lain memang tak mudah, bukan tak boleh, boleh je tapi perlu persetujuan mereka sendiri. Kalau diri sendiri nak setuju apa lagi nya, buat aje lah.

Jadi, tujuan tulisan di blog ni nanti adalah untuk membuat perubahan kepada diri sendiri. Boleh dikatakan untuk saya rekodkan perjalanan atau proses untuk saya ubah diri saya. Walaupun usia dah nak masuk separuh abad, selagi dikurniakan nyawa dari Allah, masih ada ruang untuk saya perbaiki diri sendiri. Untuk mendapat keredhaan dariNya. Dan semoga proses ini akan dapat diikuti oleh anak-anak saya juga nanti. Ye lah, elokkan diri sendiri dan keluarga dulu sebelum nak elokkan orang lain. Betul tak?

Panjang juga celoteh untuk permulaan ni. Berhenti di sini dulu, nanti sambung lagi. Sebab ikut kata seorang blogger popular di negara Barat sana (dah lupa namanya), nak dipanggil blogger, blog perlu lah sentiasa di update. Sekurang-kurangnya ada dekat 1000 entri barulah boleh dipanggil blogger tegar. Mudah-mudahan dapat bertahan, in sya Allah.

JOM LAKUKAN AJE!!

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: carian google (https://www.happynewyear2019n.com)